SEBUT sahaja Maldives, pastinya anda membayangkan sebuah pulau yang mempunyai panorama memukau di samping air laut berwarna biru, pantai putih dan suasana mendamaikan. Mana tidaknya, destinasi yang sinonim dengan 'percutian bulan madu' itu berada di Lautan Hindi serta terletak di barat daya Sri Lanka dan India iaitu kira-kira 1,000 kilometer dari benua Asia. ARTIKEL BERKAITAN: Lemau dan bosan? Cabar diri anda di Langkawi... 7 aktiviti ini pasti tingkatkan adrenalin Justeru tidak hairanlah apabila 'syurga dunia' berkenaan terus diangkat sebagai Destinasi Utama Dunia untuk tahun ketiga berturut-turut di Anugerah Perjalanan Dunia 2022. Jambatan kayu atas air menjadikan panorama Maldives lebih memukau. - Vocket Diumumkan pada acara yang diadakan pada 11 November, Maldives menerima beberapa anugerah termasuk gelaran paling berprestij dalam industri pelancongan global. Lebih menggembirakan apabila penganugerahan itu diterima semasa mereka menyambut Jubli Emas Pelancongan. Terdahulu anugerah itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Pemasaran, Perhubungan Awam Maldives Corporation (MMPRC), Thoyyib Mohammed bersama Menteri Pelancongan Maldives, Dr Abdulla Mausoom pada majlis di Istana Al Bustan Oman. The Maldives menewaskan 18 negara lain termasuk Dubai, Portugal, Indonesia dan Greece. Menurut Dr Abdulla, pencapaian tersebut adalah bukti populariti dan kemeriahan Maldives sebagai destinasi pelancongan. Toyyib menunjukkan trofi yang dimenangi. "Pencapaian industri sepanjang tiga tahun lalu juga mencerminkan daya tahan industri pelancongan Maldives di tengah-tengah krisis," katanya. Maldives pertama kali mendapat gelaran Destinasi Utama Dunia pada 2020 etika wabak Covid-19 melanda seluruh negara. Seperti negara lain, Maldives juga bergelut mempertahankan industri pelancongannya kerana penutupan sempadan. Namun dalam tempoh itu, kerajaannya telah merangka gerak kerja baharu untuk pembukaan semula sempadan dengan menekankan pembentukan geografi unik pulau-pulau Maldives sebagai USP utama konsep satu-pulau-satu-resort. Inisiatif tersebut sekali gus menjadikan Maldives sebagai salah satu destinasi paling selamat untuk pelawat walaupun di tengah-tengah pandemik menerusi pembukaan semula sempadan untuk perjalanan antarabangsa 15 Julai 2020. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI