suria

Kontraktor suruh roboh, tapi pemilik berkeras ubah suai rumah usang jadi inap desa... Verandah & Loft di Teluk Intan memang wow!

Rumah usang yang berjaya diubah suai menjadi sebuah inap desa di Teluk Intan.

BERUBAH 360 darjah.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai transformasi sebuah rumah usang di Teluk Intan, Perak yang kini dibuka sebagai inap desa, dikenali sebagai Verandah & Loft.

Menurut pemiliknya iaitu Dr Firdaus Azmi, dia pernah diminta supaya merobohkan rumah usang itu, namun menolak idea berkenaan dan memulakan proses ubah suai pada Mei lalu.

"Sebenarnya ramai kontraktor yang saya jumpa beri cadangan untuk robohkan rumah ini, buat yang baharu. Tetapi sebab sangat sayangkan reka bentuk rumah ini yang unik dengan beranda, jadi saya buat keputusan untuk kekalkan.

rumah2

Suasana santai yang menjanjikan ketenangan buat pengunjung inap desa itu.

"Rumah ini status rumah usang, terletak di sebelah rumah saya. Jadi perlahan lahan saya pujuk untuk owner pindah milik untuk saya pulihara. Jika lihat struktur rumah ni, nampak macam reka bentuk rumah Melayu Champa," ujarnya.

Bercerita lanjut, Dr Firdaus berkata proses transformasi rumah itu memakan belanja kira-kira RM150,000, namun dia kagum dengan hasil akhir yang berjaya direalisasikan.

Paling mencabar tentunya proses pembinaan kolam renang kerana ruangan sempit serta cuaca yang tidak menentu ketika proses ubah suai dijalankan.

rumah4

Struktur usang ini melalui proses ubah suai pada Mei lalu.

"Kos keseluruhan mencecah RM150,000. Kos meningkat 100 peratus daripada perancangan asal, sebab banyak tambahan lain termasuk kolam renang. Perancangan asal hanya RM70,000.

"Perasaan saya sendiri sangat puas dan lega kerana apa yang dirancang menjadi kenyataan walau terlalu banyak cabaran dan dugaan untuk projek gila ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada bermacam aktiviti, ketenangannya luar biasa! Inilah dia 6 homestay yang anda patut cuba untuk hilangkan stres

"Cabaran utama adalah pembinaan kolam sebab tanah di kawasan sangat berair dan kawasan yang sempit untuk jentera masuk. Masuk pula musim hujan menyebabkan air bertakung dan berlumpur," ujarnya.

Mengenai proses ubah suai, Dr Firdaus berkata sebahagian lantai tingkat atas dibuka untuk menjadikan rumah itu berkonsep siling tinggi, sekali gus dapat meningkatkan pengudaraan.

"Kayu kayu reput diganti dan tingkap tingkap ditukar dengan tingkap cermin untuk meningkatkan pencahayaan semulajadi.

rumah3

Inap desa ini menawarkan promosi pembukaan sehingga Februari 2023.

"Masuk segmen dekorasi, rujukan utama adalah dari Pintrest sambil berangan. Ya berangan itu sangat penting tuan puan. Konsep rumah adalah bohemian Scandinavian.

"Taman-taman di luar hanya guna kaktus sebagai penyeri sebab malas nak maintaince. Inspirasi daripada Pintrest juga.

"Setelah enam ke tujuh bulan bertungkus lumus, akhirnya siap sepenuhnya. Stres dan sangat penat tapi hasilnya sangat memuaskan," ujarnya lagi.

Sempena pembukaan inap desa itu, Dr Firdaus turut mengumumkan harga promosi istimewa sehingga Februari depan dan untuk maklumat lanjut, lawati Facebook rasmi Verandah & Loft.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain