suria

Pasar malam moden makin popular... tarikan macam taman tema, boleh makan-makan lepas naik jet coaster!

Destinasi pelancongan di Jawa Tengah ini baru sahaja dibuka pada April tahun lepas. Foto: Instagram @munggurpark.klaten.

SEBUT sahaja mengenai destinasi pelancongan di Indonesia, kita pastinya terbayang akan keindahan Bali atau kemeriahan kota Jakarta.

Namun tahukah anda, lokasi seperti Jawa Tengah juga memiliki tarikan yang tidak kurang hebatnya.

Jika berkesempatan ke sana, jangan lupa untuk singgah ke pusat rekreasi berkonsepkan pasar malam iaitu Munggur Park Klaten yang semakin popular dalam kalangan masyarakat di sana.

Munggur Park Klaten merupakan pusat rekreasi yang dilengkapi tarikan ala taman tema, sesuai untuk anda yang merindukan suasana pasar malam.

Foto: Instagram @munggurpark.klaten.

Lokasi ini mampu menarik sehingga seribu pengunjung pada hujung minggu. Foto: Instagram @munggurpark.klaten.

Pengurus Besar Munggur Park Klaten, Ovick Raharja berkata, ia bukan sekadar pasar malam biasa, namun turut dilengkapi dengan banyak tarikan termasuklah aneka permainan buat pengunjungnya.

"Berbeza dengan pasar malam yang berpindah-pindah tempat, Munggur Park Klaten ini dibina atas tapak tetap.

"Nama Munggur berasal dari nama pohon munggur yang dahulunya banyak tumbuh di kawasan tersebut.

"Tapi sekarang sudah tidak disebut daerah Munggur lagi, jadi itu sebutan orang lama-lama," ujarnya.

Foto: Instagram @munggurpark.klaten.

Rumah hantu dan taman arnab turut menjadi tarikan di taman tema ini. Foto: Instagram @munggurpark.klaten.

Taman rekreasi berkonsepkan pasar malam ini berdiri di atas tapak seluas sekitar 5,000 meter persegi dan baru sahaja dibuka pada 23 April tahun lalu.

Dalam tempoh singkat, lokasi itu berjaya menarik minat orang ramai sehingga menerima 1,000 pengunjung pada hujung minggu dan sekitar 300 hingga 400 pengunjung pada hari bekerja.

Antara tarikan yang digilai ramai adalah jet coaster, kereta mini, gajah terbang, taman arnab rumah belon, taman Cappadocia, trampolin, dan rumah hantu.

Selain itu, Taman Munggur Klaten juga dilengkapi dengan kemudahan seperti surau tandas, kawasan parkir, gazebo, dan medan selera untuk pengunjung menikmati pelbagai hidangan yang enak. - Kompas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain