RAMAI antara kita yang suka terbang untuk bercuti tetapi tidak semua yang mampu berbelanja sesuka hati sepanjang percutian mereka. Kebiasaannya, mereka ini mempunyai bajet tertentu dan akan cuba sedaya upaya untuk tidak membazir dalam berbelanja. Kos percutian menaiki pesawat sememangnya mahal, bukan hanya tiket penerbangan tetapi turut melibatkan pengangkutan untuk sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang sudah tentu ada kosnya. Bagi mereka yang mahu berjimat, sebenarnya ada cara lebih murah seperti yang dikongsikan oleh @elybaeraq di Twitter. Dalam satu hantaran yang dibuat, wanita ini menggunakan MRT Laluan Putrajaya dan berhenti di stesen terakhir iaitu stesen Putrajaya Sentral. Wanita ini menggunakan MRT untuk ke Putrajaya Sentral. "Saya jumpa cara baharu lagi murah nak pergi ke KLIA2. "Saya hanya belanjakan RM9.40 pergi ke sini menggunakan MRT ke Putrajaya Sentral dan tukar ke Transit KLIA. "Saya sangat kedekut dengan diri sendiri sebab itulah saya tak nak gunakan pengangkutan e-hailing yang menelan kos RM75. Lagi murah daripada gunakan kereta api ekspres," katanya. Selain itu, pelayar tersebut menjelaskan bahawa perjalanan menggunakan MRT tersebut adalah percuma memandangkan dia menggunakan My50 Unlimited Travel Pass (My50). Suasana di dalam KLIA transit dikongsikan oleh elybaeraq. Bagi mereka yang tidak melanggan My50, anda boleh menggunakan MyCity Pass dengan harga RM5 yang boleh digunakan ke mana sahaja menggunakan MRT dalam masa satu hari tanpa had atau caj tambahan dikenakan. Dalam ciapan tersebut, wanita ini turut berkongsi foto menunjukkan dia berjaya tiba di KLIA2 menggunakan laluan dikongsikan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube