PERJALANAN menaiki kapal terbang bukanlah satu proses yang menyeronokkan. Bukan sahaja orang dewasa berasa kurang selesa, malah kanak-kanak juga sering meragam apabila mereka terpaksa duduk di ruangan sempit dan menempuh perjalanan yang panjang. Situasi ini menjadi lebih teruk apabila ibu bapa gagal mengawal tangisan anak, ditambah pula jika penumpang lain serta kru kurang memahami dan tidak membantu. Berikut kami kongsikan beberapa kaedah untuk ibu bapa menenangkan bayi atau kanak-kanak yang menangis di dalam pesawat. 1. Alih fokus Perhatian bayi mudah terfokus ke arah pergerakan. Jadi, cuba alih perhatian mereka dengan permainan-permainan ringkas yang anda bawa. Selain itu, anda juga boleh mendukung anak sambil berjalan seketika di ruangan tengah pesawat untuk mengalih fokus mereka dengan suasana berbeza. 2. Susun jadual tidur Setiap kanak-kanak mempunyai jadual tidur tersendiri. Anda sebagai ibu bapa seharusnya lebih tahu tentang rutin serta waktu anak-anak sering tidur. Perjalanan menaiki kapal terbang sememangnya mencabar buat ibu bapa yang mempunyai anak kecil. (Foto:Frepik) Menurut Conde Nast Traveller, sebelum membeli tiket pesawat, ibu bapa sepatutnya mengambil kira waktu tidur anak-anak. Sebaiknya, pilih waktu penerbangan yang lebih kurang sama dengan waktu tidur anak anda. 3. Cari punca Menurut The Travel, bayi biasanya menangis kerana mereka memerlukan sesuatu. Jika anak anda tidak berhenti menangis di dalam pesawat, cuba pastikan sekiranya mereka sedang lapar atau dahaga. Selain itu, periksa juga lampin mereka. Bayi mungkin menangis tidak selesa kerana mereka berak atau kencing. 4. Makan dalam pesawat Waktu pesawat berlepas dan mendarat merupakan waktu yang paling memberi tekanan kepada bayi. Orang dewasa pun tak selesa, apatah lagi bayi yang mempunyai telinga lebih sensitif. Bayi pastinya meragam kerana perlu berdepan perubahan dalam tekanan. Perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah menyuap susu ketika pesawat berlepas dan mendarat. Perbuatan menghisap susu daripada botol boleh membantu untuk melegakan telinga bayi yang terasa 'penuh' dek tekanan udara di dalam pesawat, sekali gus dapat meredakan tangisan mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube