suria

Agropelancongan menjadi trend popular, ini 5 destinasi wajib dikunjungi... Salah satunya persis drama Korea!

Cameron Flora Park yang pastinya memukau setiap pengunjung.

MALAYSIA cukup terkenal kerana mempunyai banyak tempat menarik untuk diterokai, terutamanya pelancongan agro yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Agropelancongan merupakan segmen pelancongan yang memfokuskan pertanian dan penternakan, yang membolehkan pelancong merasai sendiri pengalaman di ladang, taman atau kebun.

Pengalaman ini termasuk dari cara menyelenggara, menternak dan macam-macam lagi, para pelancong bakal dijadikan sebahagian dari ekosistem ini, sekali gus menjadikan ia popular untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

Jom ikuti tempat-tempat menarik agropelancongan di negara ini yang wajib dikunjungi!

1) Taman Flora Cameron/ Flora Cameron Park

Berkeluasan kira-kira 2.8 hektar, Taman Flora Cameron yang terletak di Ladang Kea di Brinchang, Pahang merupakan taman yang begitu mempesona, dipenuhi dengan bunga-bunga yang mekar, persis dalam drama Korea kegemaran anda!

Setiap langkah anda akan ditemani hiasan bunga-bungaan dan daun-daun yang amat menenangkan, dipenuhi dengan bau harum daripada buah-buahan mencetuskan keriangan.

Setibanya di sini, anda wajib bergambar di Jambatan Golden Maple yang dihiasi dengan daun maple kuning. Terdapat sebuah platform yang menawarkan pengunjung pemandangan Cameron Highlands yang menakjubkan.

Pada masa sama, jangan lepaskan peluang ke Petunia Garden, Glass Sanctuary dan Stairway to Infinity serta Hobbiton Village di mana anda boleh menikmati sajian menyelerakan dan minuman yang menyegarkan.

Selain Taman Flora Cameron, pelancong juga boleh melihat tarikan bunga lain berdekatan, seperti Taman Lavender dan Lembah Kaktus.

Alamat:

Lot 191, 39010 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: 9.30 pagi-7 malam setiap hari

agro 1

Kehadiran lebih 100 ekor kambing di Saanen Dairy Goat Farm yang mencuit hati.

2) Ladang Kambing Tenusu Saanen/ Saanen Dairy Goat Farm

Di utara tanah air, Ladang Kambing Tenusu Saanen yang beroperasi di Balik Pulau, Pulau Pinang menawarkan pengalaman yang unik, di mana pengunjung boleh bermanja dan memeluk anak kambing.

Dibuka secara rasmi pada tahun 2009, ladang ternakan yang menempatkan lebih 100 ekor kambing ini menarik perhatian ramai pelancong.

Di sini, pengunjung mengenali baka-baka kambing secara lebih dekat, dengan ciri-ciri khas yang membezakan seperti kulit dan bulunya.

Kambing Saanen dikenali sebagai baka yang paling tinggi menghasilkan susu, sehingga ia mendapat jolokan ‘ratu kambing’.

Menerusi sesi lawatan yang disediakan, segala informasi berkaitan akan diterangkan secara terperinci dan pengunjung boleh melihat bagaimana proses penghasilan susu kambing.

Untuk makluman, terdapat banyak haiwan lain di ladang ini seperti itik, ayam, arnab dan burung unta.

Anda juga boleh memberi makan kepada haiwan-haiwan ternakan disini, dengan pelbagai jenis makanan boleh didapati di kaunter tiket.

Selesai melakukan aktiviti yang penat tapi menyeronokan, anda boleh mengakhiri lawatan dengan menikmati produk makanan berasaskan susu kambing seperti aiskrim dan yogurt.

Alamat:

298 Mukim 1 Sungai Pinang, 11010 Balik Pulau, Pulau Pinang

Waktu operasi: 10 pagi-5 petang setiap hari

Pengunjung berpeluang memberi makanan kepada itik.

3) Ladang Santai Trong/ Trong Leisure Farm

Di sebuah pekan tenang yang dinamakan Terong di Perak, terdapat satu lagi destinasi agropelancongan yang perlu dikunjungi.

Trong Leisure Farm adalah antara ladang itik terbesar di Malaysia, yang kini menjadi salah satu destinasi kegemaran pelancong. Difahamkan, kawasan ini dahulunya adalah ladang kelapa sawit.

Terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari Taiping, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini bersama anak-anak atau pasangan. Antaranya ialah mendekati dan memberi makanan kepada haiwan ternakan, memancing dan mengayuh bot di tasik.

Uniknya di sini, kereta anda bakal dibantu oleh traktor yang akan membawa anda ke ladang. Ketibaan anda akan disambut dengan sebuah patung itik gergasi berwarna kuning.

Trong Leisure Farm juga terkenal dalam kalangan pelancong yang mempunyai banyak lokasi foto menarik untuk bergambar dan ‘OOTD’ (outft of the day).

Jangan lepaskan peluang ini untuk melihat ribuan itik yang bebas berkeliaran di seluruh kawasan ladang ‘menyambut’ kedatangan anda.

Alamat:

PT293, Jalan Kuala Trong, 34800 Terong, Perak

Waktu operasi: 9 pagi-7 malam setiap hari

Aktiviti mendayung bot di Trong Leisure Farm.

4) Ladang Santai Star Fish/ Star Fish Leisure Farm

Terletak di Kulai, Johor, Star Fish Leisure Farm merupakan sebuah ladang akuakultur berkeluasan 6 hektar.

Ladang ini terletak di kawasan ladang kelapa sawit, yang mempunyai pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung seperti memancing, memberi makan kepada haiwan, berbasikal dan banyak lagi.

Bagi mereka yang ingin lari dari kesibukan kota, bolehlah cuba menginap di sini. Anda pastinya dapat menikmati suasana tenang dengan pelbagai jenis penginapan seperti chalet terapung dan rumah kampung tradisional.

Selain itu, tapak perkhemahan juga disediakan bagi membolehkan orang ramai merasai sendiri pengalaman berkhemah di Star Fish Leisure Farm.

Destinasi pelancongan ini terletak di Kulai, Johor, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan kereta dari Johor Bahru.

Alamat:

Lot 2168, Mukim Senai-Kulai, Sengkang 81000 Kulai, Johor

Waktu operasi: 9 pagi-5 petang setiap hari (tutup pada hari Selasa)

Kilang Yit Foh beroperasi sejak 1960-an.

5) Taman Kopi Yit Foh/ Yit Foh Coffee Park

Taman Kopi Yit Foh di Tenom, Sabah cukup tidak asing lagi buat penggemar kopi di seluruh dunia dan menjadi destinasi wajib bagi golongan itu ke Negeri Di Bawah Bayu ini.

Ia merupakan kediaman kepada pengeluar kopi tertua Sabah, Yit Foh, yang diasaskan pada 1960-an oleh Yong Loong Vun.

Kilang Kopi Yit Foh kini berusia sekitar 60 tahun yang menawarkan pengunjung pengalaman melihat dan merasai sendiri cara biji kopi dipanggang dan dibungkus.

Selain mendalami tentang penghasilan kopi, pengunjung juga boleh menikmati secawan kopi sambil menikmati kehijauan pemandangan yang menenangkan.

Anda juga boleh menghabiskan satu atau dua malam di chalet atau rumah panjang mereka, dan menikmati suasana yang damai.

Bukan sekadar itu, pengunjung juga boleh singgah ke restoran di taman ini yang menyajikan hidangan tempatan yang asli. Sebelum pulang ke Kota Kinabalu, jangan lupa membeli cenderahati untuk yang tersayang.

Semestinya Taman Pertanian Sabah merupakan satu lagi tarikan berdekatan yang cukup menarik untuk dikunjungi pelancong.

Taman ini menempatkan pelbagai spesies tumbuhan, yang pasti akan memikat pengunjung, terutamanya peminat fauna yang boleh memetik buah-buahan eksotik dan cuba merasainya di sini!

Alamat:

KM3, Jalan Tenom Sapong, Kg Chinta Mata, Tenom, Sabah

Restoran Yit Foh Robusta

Waktu operasi: 11pagi-9.30 malam setiap hari

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain