suria

Berderau darah pasport hilang ketika travel di luar negara... Bertenang, ini 7 langkah perlu anda ikut

Mereka yang pergi ke luar negara perlu tahu apa perlu dilakukan jika pasport hilang.

KEHILANGAN pasport semasa bercuti di luar negara boleh menjadi antara pengalaman paling menakutkan dan membantutkan perancangan perjalanan anda.

Namun dengan mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil, anda boleh menguruskan situasi ini dengan lebih mudahdan tenang.

Dalam perkongsian Muaz Aziz di Facebook, dia menerangkan apa yang perlu dilakukan jika anda berdepan masalah ini.

Perkongsian langkah-langkah ini dikongsikan berdasarkan pengalaman dirinya sendiri yang kehilangan pasport di Paris, Perancis.

1. Hubungi kedutaan Malaysia

Langkah pertama adalah menghubungi kedutaan Malaysia di negara anda kehilangan pasport.

Anda boleh menghubungi mereka melalui panggilan telefon, emel atau melalui media sosial.

Maklumkan tentang kehilangan pasport anda secepat mungkin.

2. Buat laporan polis

Seterusnya, pergi ke balai polis tempatan untuk membuat laporan mengenai kehilangan pasport.

Simpan salinan laporan tersebut kerana ia mungkin diperlukan semasa proses penggantiannya..

3. Ambil gambar

Cari kedai gambar untuk mengambil gambar pasport anda dengan latar belakang putih.

Gambar ini biasanya diperlukan untuk dokumen penggantian.

Pasport perlu dijaga dengan baik agar tidak mudah hilang.

4. Proses Perakuan Cemas di kedutaan

Pergi ke kedutaan dengan semua dokumen yang diperlukan, termasuk laporan polis dan gambar.

Anda perlu memohon untuk mendapatkan Perakuan Cemas yang membolehkan anda pulang ke Malaysia.

5. Tiket penerbangan

Jika bernasib baik, anda mungkin dapat terbang pulang menggunakan tiket yang sama.

Namun, jika anda kehilangan pasport di negara A dan tiket pulang dari negara B anda mungkin perlu membeli tiket one-way (satu hala).

6. Pulang ke Malaysia

Setibanya di Malaysia, serahkan Perakuan Cemas kepada pegawai imigresen di KLIA.

Ini akan memudahkan proses masuk semula ke negara.

7. Buat laporan polis di Malaysia

Setelah kembali, buat laporan polis mengenai kehilangan pasport di Malaysia. Laporan ini diperlukan untuk memproses permohonan pasport baharu.

Pastikan untuk selalu membawa salinan dokumen penting semasa bercuti dan ambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian serupa di masa depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain