MELANCONG sememangnya menyeronokkan apatah lagi kalau pergi beramai-ramai dengan keluarga atau rakan.
Ketika ini terdapat banyak agensi pelancongan yang menawarkan pakej 'open trip' yang sudah lengkap dengan itinerari dan harganya pun berpatutan.
Kelebihannya, peserta tidak perlu pening kepala memikirkan mengenai pengangkutan, penginapan, pemandu pelancong dan makanan.
Cuma, pakej ini lazimnya terbuka dan melibatkan pelancong lain yang tidak kita kenali.
Memang beruntung jika kesemua pelancong dalam kumpulan kita 'sekepala' dan mengikut apa yang telah dirancang pihak agensi.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ada yang jenis 'buat kepala' sendiri sebagaimana pengalaman yang dikongsikan oleh seorang pelayar media sosial, @solynn_r_mamon.
ARTIKEL BERKAITAN: View ‘awesome’ tapi keselamatan diri jadi taruhan! Awas jika pilih Jalur Torean daki Gunung Rinjani
"Aku pernah ya pergi travel dengan agensi travel dalam satu group tapi seorang kakak ni dan keluarganya buat macam pakej peribadi sendiri.
"Semua tempat dia tak nak, asyik nak shopping je. Lepas tu hasut yang lain untuk ikut dia.
"Korang bayangkan, pergi Türkiye tapi tak pergi Topkapi Palace, tak nak pergi Al Fateh Mosque... Pasal nak shopping," tulisnya.
Mereka yang suka melancong dalam kumpulan kecil sebaiknya mengambil pakej 'private'. -Gambar hiasan
Menurut individu itu, dia mengambil tindakan untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Supporting Guide Person (SGP) yang ditugaskan mengepalai kumpulan mereka selain menegur mereka secara terang-terangan.
"Saya 'sekolahkan' dia juga sebab dah tak boleh tahan. Kenapa tak bangkitkan kepada agensi travel? Senyap maksudnya setujulah dengan itinerari.
"Saya juga beritahu, tak bolehlah nak ikut timing dia, benda dah plan kan. Susahlah orang macam ni," tulisnya lagi.
Jika berada di tempat yang sama, pasti kita juga berasa kecewa seperti mana dirasakan oleh pelayar ini.
Ada sesetengah individu gemar travel secara solo kerana lebih bebas membuat perancangan sendiri. -Gambar hiasan
Jadi sebagai panduan bersama, sekiranya anda merancang untuk melancong menggunakan agensi, perlu ketahui dengan jelas pakej yang ditawarkan iaitu:
1. Open trip
- Trip berkumpulan yang terbuka kepada sesiapa saja. Ini bermakna dalam satu kumpulan, peserta terdiri daripada peserta 'random'. Salah satu kelebihannya, kos untuk 'open trip' lebih murah, itinerari sudah disusun dan memudahkan! Sesuai untuk individu yang suka berkenalan dengan kawan baharu.
2. Private trip
Private Trip adalah pilihan tepat untuk individu yang mahu bercuti dengan sahabat atau ahli keluarga, atau dengan kata lain, trip eksklusif. Boleh 'request' itinerari atau aktiviti mengikut kesukaan atau jadual masing-masing. Sememangnya menyenokkan kerana lebih privasi dan tiada gangguan orang lain.
3. Ground package
Ground Package pula biasanya untuk individu yang sudah membeli tiket penerbangan sendiri tapi perlukan servis sepanjang berada di destinasi. Ini termasuk penginapan, pengangkutan, tour guide, dan mungkin aktiviti tertentu.