BERSEMPENA tahun kepengerusian Asean, Desaru Coast selaku penginapan peranginan berprestij sekali lagi membawakan Pesta Hujung Minggu Ombak Festival yang dijadualkan pada 12 hingga 14 September akan datang.
Mencatat kehadiran lebih 5,000 pengunjung sewaktu pelancarannya tahun lalu, Ombak Festival kali ini dikatakan lebih gah dengan menampilkan barisan bintang legenda Simply Red, George Clinton & Parliament Funkadelic, Joss Stone, dan Flight Facilities sebagai tarikan utama.
Edisi 2025 bagaimanapun memperluaskan skop kepada bakat serantau merentasi festival muzik, kesenian, sajian makanan dan pengalaman mesra keluarga sepanjang tiga hari festival berlangsung.
Pengarah Ombak Festival, Karina Ridzuan berkata, gabungan ikon global dan bakat serantau menjadi taruhan untuk menjadikan festival tersebut sebagai acara 'wajib hadir' di Asia Tenggara.
"Kami berhasrat menghasilkan pengalaman luar biasa kepada pengunjung dalam usaha menggalakkan lagi slogan Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Kami begitu teruja untuk membawakan persembahan eksklusif Simply Red di Asia Tenggara sempena ulang tahun ke-40 mereka, sementara Joss Stone akan menampilkan pratayang istimewa album terbaharunya yang bakal dilancarkan tahun ini," ujarnya.
Festival ini turut meraikan legenda funk, George Clinton dan Parliament Funkadelic selain menjadi saksi kemunculan sulung Flight Facilities, duo DJ popular Australia di Malaysia.
Dalam pada itu, seramai 29 bintang Asean daripada genre soul, funk, pop dan hip-hop termasuklah Joe Flizzow, SonaOne, dan Ismail Izzani (Malaysia); Phum Viphurit (Thailand), The Pinholes (Singapura), Diskoria (Indonesia) dan Vanthan (Kemboja) antara yang bakal memeriahkan pentas.
Menjanjikan pengalaman mesra keluarga, Ombak Kids menawarkan pengembaraan bermakna untuk kanak-kanak dengan Go Fly Kites, LEGOLAND Speed Building Challenge, patung gergasi Meera dan Fiz setinggi 10 kaki, permainan bersaiz besar oleh Mereka Games, dan Funfair of Forgotten Futures.
Selain itu, segmen Arts and Play menawarkan Bengkel Upcycling oleh Pulau Pulao, cetakan blok oleh Segaris Art Center, bazar oleh Pasar Seloka, dan permainan mahjong bersama All Tiled Up sambil berpeluang menikmati aneka sajian kulinari daripada Sazón Tapas and Grill oleh Chef Andrew Walsh, Carbon KL, dan Flavours of Johor.
"Apa yang membezakan Ombak Festival ialah ianya benar-benar The Ultimate Weekend untuk dinikmati semua," ujar Karina lagi.
Pas awal festival dijual dengan harga bermula RM200 menerusi tiga jenis pilihan ditawarkan.