suria

Tak perlu bersesak di jalan raya, guna je pengangkutan awam untuk ke 5 tempat berbuka puasa ini

Kambing golek antara menu utama di Hotel Pavilion Kuala Lumpur.

KEDATANGAN bulan Ramadan pasti ramai dalam kalangan kita yang ingin mengambil kesempatan untuk memanjakan diri berbuka puasa di hotel terkemuka bersama keluarga atau pun rakan-rakan.

Namun niat itu adakalanya terbantut apabila kebanyakan lokasi terkenal terletak di pusat bandar ditambah keadaan trafik yang sesak ekoran orang ramai berpusu-pusu mengejar masa untuk sampai ke destinasi sebelum waktu iftar.

Tapi jangan bimbang, mStar senaraikan lima lokasi terbaik yang menghidangkan makanan lazat dengan pelbagai pilihan tanpa perlu bersesak di jalan raya!

Malah tempat-tempat yang dicadangkan ini mempunyai akses kepada pengangkutan awam seperti Light Rail Transit (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan Monorel.

1. Bufet Muhibah Hotel Pavilion Kuala Lumpur

Burung puyuh antara menu utama di Hotel Pavilion Kuala Lumpur.

Baharu sahaja dibuka Disember tahun lalu, Hotel Pavilion Kuala Lumpur buat pertama kalinya mengadakan bufet Ramadan di restoran The Courtyard bermula 9 Mei ini.

Menampilkan konsep muhibah, Hotel Pavilion menyediakan lebih 200 sajian Melayu termasuk Cina, India, Peranakan serta hidangan barat.

Ini termasuk Kambing Golek, Rojak Penang, Sate, Nasi Lemak Berlauk, Bubur Lambuk, malah menu istimewa Bubur Anak Lebah yang popular dalam kalangan masyarakat Perak itu turut disediakan... yang bestnya, terdapat juga kaunter yang membolehkan anda melihat sendiri cef memasak secara terus hidangan berbuka anda!

Pelbagai kuih-muih tradisional Melayu seperti cucur pisang turut disediakan.

Tidak cukup dengan itu, kepada yang gemarkan durian, The Courtyard turut menyediakan sebuah stesen khas untuk penggemar raja buah itu.

Bagi yang berhasrat ke Hotel Pavilion cukup mudah! Sekiranya anda dari Stesen KL Sentral, anda hanya perlu menaiki MRT laluan Kajang dan turun di stesen Pavilion Bukit Bintang atau pun menggunakan Monorel KL ke stesen Bukit Bintang.

Harga menikmati bufet di Hotel Pavilion juga cukup berpatutan iaitu RM135 (dewasa) dan RM68 (kanak-kanak).

2. Warisan Melayu 13 Negeri Hotel Royal Kuala Lumpur

Pelbagai jenis kerabu antara menu istimewa di Hotel Royal Kuala Lumpur.

Menampilkan konsep Khazanah Warisan Melayu, Hotel Royal Kuala Lumpur menyediakan hidangan daripada 13 negeri di seluruh Malaysia pada bufet Ramadan mereka tahun ini.

Cakap nak makan apa! InsyaAllah semuanya ada di Hotel Royal seperti Nasi Dagang, Nasi Daging, Daging Dendeng Ala Nogori, Pajeri Nenas, Udang Lemis, Bubur Asyura dan Sup Tulang Rusuk. Terliur ke tidak?

Tapi paling best, bufet yang diadakan di Makan-Makan Coffee House itu turut menyediakan pelbagai kerabu bagi yang gemarkan makanan ringkas dan sihat seperti Kerabu Mangga Muda, Kerabu Makanan Laut, Kerabu Utara Tomato Berkerisik dan sebagainya.

Gulai kawah antara menjadi perhatian di Hotel Royal.

Harganya pun sangat berpatutan, RM78 sekepala manakala kanak-kanak dan warga emas mendapat diskaun 50 peratus. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-2148 6888 (ext 2887).

Nak ke Hotel Royal tak perlu bawa kereta! Dari stesen KL Sentral, anda hanya perlu menaiki MRT Laluan Kajang dan turut di stesen Pavilion Bukit Bintang atau pun menggunakan Monorel KL ke stesen Bukit Bintang.

3. Nasi Dulang Minang SukaSucre

Nasi Dulang Minang menu istimewa hasil air tangan Cef Selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob.

Bagi yang tidak pernah mencuba Nasi Dulang Minang barangkali boleh menjadikan Ramadan ini sebagai kesempatan apabila ia menjadi menu signature SukaSucre milik cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

Menariknya, ia dihidang di atas sebuah dulang perak berserta lapan jenis lauk menggamit rasa ilham masakan tradisional dari Rembau, Negeri Sembilan itu.

Tidak hanya itu, SukaSucre turut menyediakan menu lain seperti Nasi Pandan Berempah, Kepak Ayam Sambal Hijau, Rendang Ayam, Daging Salai Lemak Cili Api Belimbing Buluh, Itik Masak Lemak Cili Api Mangga Muda, Sambal Goreng Jawa, Daging Dendeng Minang dan banyak lagi. Fuhh.

Menyelerakan... SukaSucre menyediakan pelbagai juadah yang membangkitkan selera anda.

Puteri Mandi, Bubur Pulut Hitam Santan Custard, Pisang Goreng Cheese & Butterscotch Sauce, Cream Puff, Jagung Bakar, Kek Pisang, Agar-Agar, Puding, Kuih Koci, Burnt Cheesecake berperisa tempatan Bandung dan Pandan Gula Melaka pula sebagai pencuci mulut.

Caj dikenakan juga berpatutan iaitu RM75 (dewasa) dan RM35 (kanak-kanak di bawah 12 tahun) dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi  03-92017750.

Nanti dulu, kalau nak ke SukaSucre tak perlu memandu memandangkan keadaan trafik di Cheras memang sesak jadi boleh gunakan MRT arah Kajang dan turun di stesen Taman Pertama. Jalan dalam 100 meter, pelbagai hidangan membuka selera menanti anda!

4. Warisan Nusantara Royale Chulan Damansara

Kepelbagaian makanan nusantara di Royale Chulan Damansara.

Bagi yang tidak mahu berbuka puasa di Kuala Lumpur, Royale Chulan Damansara adalah pilihan terbaik yang tampil dengan sajian Warisan Nusantara.

Menu wajib Kambing Golek, Bubur Lambuk Royale, Bihun Sup Utara, Cendol Durian dan Lontong Samudera sudah cukup buat terliur.

Bukan itu sahaja terdapat Lemang, Ketupat Palas, Rendang Daging, Rendang Ayam bagi membangkitkan 'mood' Aidilfitri!

Ruang yang luas memberi keselesaan kepada tetamu ketika berbuka puasa.

Hendak ke Royale Chulan Damansara juga cukup mudah, anda boleh menggunakan MRT laluan Sungai Buloh dari KL Sentral dan turun di stesen Mutiara Damansara. Alang-alang lepas tu boleh shopping kelengkapan rumah di  pusat membeli-belah di situ.

Harga untuk menikmati bufet di hotel berkenaan pada harga RM138 dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-7959 9000 (ext 2406).

5. Nostalgia Nipah Hotel EQ Kuala Lumpur

Kambing Golek antara menu signatur Restoran Nipah Hotel EQ pada Ramadan ini.

Selepas operasinya ditangguhkan sementara pada 2012, Hotel Equatorial dibuka semula di Kuala Lumpur dengan penjenamaan dan wajah baharu.

Hotel tersebut kini dikenali sebagai EQ dan beroperasi semula pada tahun ini.

Seiring dengan sambutan Ramadan tahun ini, Hotel EQ melalui Restoran Nipah tidak ketinggalan menawarkan lebih 100 menu buka puasa yang bertaraf lima bintang kepada pelanggannya.

Aneka juadah di EQ Hotel.

Antara menu yang menanti anda adalah Kambing Golek, Daging Salai, Nasi Beriani Gam Johor, Sate Ayam dan Daging, aneka mi serta bermacam-macam pencuci mulut.

Anda juga tidak perlu berjalan jauh kerana Hotel EQ yang terletak di Jalan Sultan Ismail berdekatan dengan Stesen Monorel Raja Chulan.

Harga yang ditawarkan bermula RM178 bagi seorang dewasa, manakala RM89 pula bagi kanak-kanak yang berusia enam hingga 12 tahun.

Artikel Lain