suria

Awas, 24 jenis sambal boleh buat air mata meleleh tanpa sedar, tak tahan pedas pesan saja sambal kicap!

Waroeng Spesial Sambal yang berasal dari Jogjakarta ini mula bertapak di jalanan sebelum berkembang kepada 89 cawangan di Indonesia.

KALI pertama penulis berkunjung ke Jogjakarta, Indonesia sekitar tiga tahun lalu, penulis terus jatuh cinta dengan gastronomi penduduk tempatan.

Boleh katakan, lauk-pauk orang Jogjakarta ini kena dengan tekak orang kita!

Dalam banyak-banyak restoran yang penulis kunjungi di sana, Waroeng Spesial Sambal adalah kedai makan yang paling terpahat di memori.

Mana tidaknya, restoran ini menyajikan 37 jenis sambal yang mempunyai tahap kepedasan berbeza dan rasanya yang tersendiri.

Panduan memilih sambal mengikut tahap kepedasannya.

Kalau anda tidak tahan pedas, pesan sahaja sambal kicap! Ini kerana sambal-sambal yang lain boleh buat air mata mengalir tanpa sedar.

Dipendekkan cerita, Waroeng Spesial Sambal sudah mula menakluki Malaysia apabila cabang (cawangan) pertamanya dibuka di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada awal tahun ini.

Sesiapa yang pernah cuba makan di warung ini di Indonesia, pasti perasaan terujanya sama seperti apa yang penulis rasa.

Tanpa berfikir panjang, penulis terus memandu kereta menuju ke Taman Tun Dr Ismail untuk menikmati pelbagai menu yang ditawarkan di Waroeng Spesial Sambal.

Sambal bawang (kiri) dan sambal belacan segar (kanan) ini hanya RM2 sepiring.

Untuk cawangan pertamanya di Malaysia, restoran ini hanya menawarkan 24 jenis sambal yang serasi dengan selera orang di negara ini.

Antara sambal-sambalnya adalah sambal bawang, bawang lombok hijau, bawang ampela hati, bawang tomato, belacan segar, belacan matang, belacan brambang tomat, belut, mangga muda dan udang pedas.

Selain itu, sambal sotong, ikan bilis, ikan bilis kecombrang, petai, cendawan, terung, bajak, tauhu, tempe, matah kecombrang, tomato, ampela hati santan, shincuan dan kicap juga terdapat di sini.

Semua bahan masakan yang digunakan adalah segar dan di sini ‘made to order’. Setiap hari kami akan beli bahan masakan di pasar dan tiada yang disimpan di dalam peti untuk kegunaan hari lain.

ARYA GUMILANG

Untuk permulaan, penulis mencuba sambal bawang yang dijual pada harga RM2 sepiring.

Selepas menggaul sambal bawang itu dengan nasi, mata penulis mula berkaca dan lidah pula rasa pedas berapi. Memang sesuai untuk mereka yang ‘hantu’ makanan pedas.

Wakil pengurusan Waroeng Spesial Sambal, Arya Gumilang berkata, kepedasan sambal itu lain dari lain kerana ia digiling dan bukannya ditumbuk menggunakan lesung batu seperti yang biasa kita lakukan.

Itik dada bakar ini pula berharga RM9.50 sepinggan.

“Semua bahan masakan yang digunakan adalah segar dan di sini ‘made to order’. Setiap hari kami akan beli bahan masakan di pasar dan tiada yang disimpan di dalam peti untuk kegunaan hari lain.

“Apa yang membuatkan rasa sambal terlalu pedas adalah ia digiling satu persatu, bukan ditumbuk atau pun dikisar,” katanya ketika ditemui mStar Online di Waroeng Spesial Sambal.

Penulis juga berkesempatan mencuba menu itik dada bakar. Selepas diperap dengan rempah ratus, itik ini direbus dahulu sebelum dibakar supaya semua rasa itu meresap masuk ke serata daging itik.

Wajib cuba brokoli goreng tepung yang rangup ini. Harganya pula hanya RM3 sepinggan.

Rasanya manis-manis masin kerana disadur dengan kicap. Dagingnya pula rasa empuk dan memang terasa bahan perapan itu dalam setiap gigitan!

Beransur ke menu seterusnya pula, penulis mencadangkan agar anda mencuba brokoli goreng tepung kerana bukan sahaja sayur ini mempunyai banyak khasiat, tetapi tidak sangka rasanya sangat menyelerakan.

Selain kanak-kanak dan vegetarian, orang dewasa lain juga sesuai untuk makan brokoli goreng tepung ini kerana rasanya rangup dan tidak pahit serta boleh dijadikan kudap-kudapan waktu minum petang.

Konsep restoran ini adalah kesederhanaan dan santai yang bersesuaian dengan konsep warung. Pengasasnya mula menjalankan perniagaan di atas titi dan jalanan sebelum membuka restoran pertama di Jogjakarta pada Ogos 2002.

Waroeng Spesial Sambal dibuka di Taman Tun Dr Ismail pada 26 Januari lalu.

Nama asalnya adalah Waroeng Perjuangan kerana pemiliknya, Bapak Yoyok Hery Wahyono berjuang untuk menaikkan ekonomi penduduk setempat dan amat mementingkan kebajikan setiap pekerjanya.

Selepas 17 tahun, Waroeng Spesial Sambal sudah membuka 89 cawangan di 43 bandar di Indonesia dan premisnya di Taman Tun Dr Ismail merupakan cawangan pertama bertapak di Malaysia.

Jadi, apa kata anda cuba setiap satu sambal yang ada di sini untuk menikmati sendiri keaslian sajian yang berasal dari kota gamelan ini.

Alamat:
Spesial Sambal SS TTDI, 41, 43, Jalan Wan Kadir 2, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur.

Waktu Operasi:
Setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam, kecuali Jumaat bermula pukul 2.30 petang.

Artikel Lain