suria

Jom cicah rojak buah dalam talam di gerai ABC Sungai Kob

Pemilik gerai ABC Sungai Kob, Nor Hanisah Ghazali, menunjukkan rojak talam yang menjadi konsep baharu untuk pelanggan menikmati pelbagai jenis buah-buahan di gerainya di Kulim, Kedah.

KREATIVITI menjadi resipi utama seorang peniaga makanan di Kampung Nob, di sini dalam menyajikan hidangan istimewanya ‘rojak talam' yang pasti menimbulkan perasaan ingin mencuba kepada sesiapa yang melihatnya.

Rojak atau campuran hirisan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dimakan dengan kuah bukanlah  makanan yang asing dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Namun, menyajikannya di dalam talam dan dinikmati secara beramai-ramai bukan cara penyediaan yang sinonim dengan makanan itu.

Itulah idea Nor Hanisah Ghazali, 34, yang memberikan kelainan dalam menyediakan makanan itu untuk menarik pelanggan ke gerainya, Gerai ABC Sungai Kob.

Nor Hanisah berkata, rojak talam yang dihasilkannya mengandungi campuran lebih 10 jenis buah-buahan tempatan dan luar negara yang sekali gus menjadikan ia berwarna-warni dan memukau selera.

“Saya menggunakan buah seperti mangga muda dan ranum, jambu air, jambu batu, timun, sengkuang, kedondong, belimbing, betik, nanas, serta epal.

"Kesemua buah yang saya guna dalam hidangan rojak talam istimewa juga adalah segar, bagi memastikan pelanggan berpuas hati menikmatinya," katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kulim, baru-baru ini.

Katanya, dengan menghidangkan di dalam talam, pelanggan dapat menikmati makanan itu dengan lebih santai dan boleh memilih buah-buahan atau sayur-sayuran yang hendak dimakan dengan lebih mudah kerana kuahnya tidak digaul sekali dengan buah bagi mengelakkan kuah menjadi cair.

Menurut Nor Hanisah, idea untuk menghasilkan rojak talam itu tercetus selepas terbaca sebuah artikel mengenai penggunaan talam dalam menghidangkan makanan mampu mengeratkan hubungan antara manusia.

Beliau seterusnya mencubanya dengan menyediakan rojak dalam talam yang akhirnya berjaya menarik pelanggan yang datang dari daerah ini dan serata Kedah.

Katanya, setiap hidangan rojak itu dijual pada harga RM12 yang disifatkannya amat berbaloi untuk dinikmati kerana pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran dalam satu talam.

Gerai ABC Sungai Kob yang turut menyediakan air batu campur berasaskan buah, jus buah dan hidangan sampingan lain milik Nor Hanisah itu terletak di Jalan Kulim-Mahang, kira-kira 10 kilometer dari bandar Kulim dan dibuka mulai 10 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat.-- Bernama

rojak, Sungai Kob

Artikel Lain