suria

Musim panas ni, jom pekena cendol 'tutty fruity' di Langgar

Seorang peniaga, Mohd Fazli Abu Bakar, 28, menyajikan cendol dengan pelbagai potongan buah atau lebih popular dalam kalangan pelanggannya sebagai Cendol Tutty Fruity dan sangat laris terutama pada musim panas ini.

MENIKMATI cendol sebagai menu minum petang terutama pada musim panas sememangnya sangat menyegarkan dan kebiasaannya ia lebih istimewa apabila ditambah pulut.

Berbeza dengan seorang peniaga, Mohd Fazli Abu Bakar, 28, beliau menyajikan cendol dengan pelbagai buah atau lebih popular di kalangan pelanggannya sebagai cendol 'tutty fruity'.

Menurutnya, cendol buah istimewa yang dijual di gerainya di Langgar, Kedah, menggunakan beberapa jenis buah-buahan seperti pisang, mangga, strawberi serta laici.

Tu dia... enak sungguh cendol ni.

"Saya juga menggunakan santan kelapa sawit untuk menambah kelainan rasa, ia lebih lemak manis dan mengurangkan rasa muak.

"Pelanggan boleh memilih sama ada mahu tambah pulut atau tidak, selain itu saya tambah juga kekacang dan jagung bagi menambah lebih perisa pada cendol tutty fruity ini," katanya kepada Bernama di Alor Setar, baru-baru ini.

Mohd Fazli berkata, sejak memperkenalkan cendol tutty fruity lebih setahun lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan dan terjual lebih 200 mangkuk setiap hari.

"Pada musim panas ni permintaan bertambah dan saya memang tak menang tangan nak layan pelanggan, bekalan buah pun saya perlu tambah.

"Kalau hari biasa buah mangga diperlukan kira-kira 15 kilogram, pisang setandan, tapi musim ni lebih lagi saya kena cari," katanya yang berniaga cendol sejak tiga tahun lepas.



Mohd Fazli berkata, biasanya beliau mendapat maklum balas positif daripada pelanggannya dan ada yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati cendolnya yang dijual pada harga RM2 hingga RM7 semangkuk.

"Ada pilihan cendol biasa, cendol pulut dan cendol tutty fruity. Ada juga pelanggan minta saya buat cendol durian, tapi saya tak buat sebab itu dah banyak orang buat, saya nak berlainan dari orang," katanya.

Mohd Fazli berkata selain cendol, beliau juga menyediakan menu bihun sup utara istimewa di gerai yang diusahakan bersama adik beradiknya itu.

cendol, tutty fruity, Langgar

Artikel Lain