suria

Semangkuk ramen sedap 'tersembunyi' di Anaki Boizu, suasana makan macam di dapur rumah

RAMEN yang berasal dari Jepun banyak ditawarkan di negara ini, namun agak sukar mencari hidangan itu yang bersesuaian dengan selera tempatan.

Bagi yang sedang tercari-cari ramen yang sedap dan 'kena' dengan tekak, anda seharusnya mencuba hidangan popular itu di Anaki Boizu, sebuah restoran unik yang tersembunyi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Menerusi kunjungan mStar Online ke lokasi itu baru-baru ini, perkara pertama yang terlintas di fikiran pastinya kelainan konsep, suasana dan ruang makan yang ditawarkan.

Selain ramen, menu Chi Karage pada harga RM12 turut ditawarkan di Anaki Boizu.

Biarpun ruangannya agak kecil, kedai makan comel yang diusahakan oleh dua sahabat iaitu Zahir Qayum, 30, dan Aiman Halim, 25, ternyata membawa feel berbeza, seolah-olah berada di dapur kediaman sendiri.

Malah, restoran berkapasiti terhad yang mampu memuatkan sekitar 12 orang pelanggan pada satu-satu masa itu menjadikan pengalaman menjamu selera lebih eksklusif dan santai.

Bagi yang pernah sampai ke Jepun atau Korea pula, konsep makan di ruang kecil atau seolah-olah makan di dapur bukanlah satu perkara asing lagi.

Suasana di Anaki Boizu.

Menurut Zahir Qayum, idea menamakan lokasi ini Anaki Boizu yang bermaksud 'budak-budak anaki' tercetus apabila kedua-dua mereka tidak pernah menghadiri kursus atau mempunyai pengalaman dengan selok-belok masakan Jepun, tetapi mahu 'terjun' juga ke bidang ini.

"Jujur saya katakan pengetahuan kami dalam bidang makanan Jepun adalah 'kosong', sebelum ni kami hanya pernah makan sushi.

Pengunjung berpeluang melihat mereka menyediakan masakan secara langsung.

"Apa yang ada di kedai ini terhasil dari percubaan mengikut gerak hati tanpa ada perancangan rapi," katanya sambil bersyukur kerana Anaki Boizu semakin diterima ramai.

Menu paling menarik di sini sudah tentulah tiga seleksi ramen yang ditawarkan iaitu beef (daging), chicken (ayam) dan soft-shell crab (ketam kulit lembut).

Soft-shell crab ramen yang popular di restoran itu.

Lebih menarik, pelanggan juga berpeluang melihat secara langsung bagaimana hidangan itu disediakan oleh tukang masak di depan mata mereka.

Sejujurnya, menyaksikan sendiri proses penghasilan dari awal sehingga mangkuk hidangan tiba di meja memberi satu kepuasan buat penulis.

Selain kualiti rasa, aspek kebersihan turut diutamakan, apatah lagi pelanggan boleh menyaksikan sendiri bagaimana hidangan dihasilkan.

Ia juga membuktikan bahawa kualiti tinggi serta aspek kebersihan menjadi prinsip utama penyediaan hidangan oleh pengendali restoran itu.

Selain indah di mata, ia terbukti sedap tatkala suapan pertama singgah di mulut.

Soft-shell crab ramen misalnya, tanpa ragu-ragu ia merupakan hidangan paling mengujakan dan wajib dicuba sesiapa yang berkesempatan ke Anaki Boizu.

Qayum (kiri) dan Aiman, dua sahabat yang mengusahakan Anaki Boizu.

Malah, ramen ayam juga agak popular dan sering menjadi pilihan kebanyakan pengunjung restoran itu.

Soal harga pula, hidangan di Anaki Boizu sangat berpatutan dan saiz juadah yang disediakan juga agak besar.

Selain hidangan ramen, mereka turut menawarkan tiga pilihan yakitori iaitu ayam, ikan dan organ.

Ringkas tapi menyelerakan, tak rugi untuk mencuba Tempura Calamari.

Hidangan ringkas itu cukup untuk membangkitkan selera, sesuai dimakan sebagai juadah sampingan selepas menikmati semangkuk ramen.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan hidangan Jepun di Anaki Boizu sememangnya cukup berkualiti tinggi, penuh rasa, aroma dan antara yang terbaik di Kuala Lumpur.

Semangkuk penuh kepuasan yang cukup untuk menggoda pandangan mata dan deria rasa anda.

Bagi mereka yang terliur dan bercadang untuk singgah ke restoran ini, ia dibuka dari Selasa hingga Sabtu, pukul 6 petang hingga 11 malam.

Bagi memudahkan pencarian lokasi, ia terletak di atas Restoran Maulana, Jalan Aminuddin Baki, TTDI.

Ruang makan di Anaki Boizu.

Artikel Lain