HUBUNGAN rakyat Malaysia dengan makanan pedas memang tidak boleh dipisahkan malah ada yang kalau tiada sambal belacan atau cili potong rasa tak berselera nak makan. Jadi tidak hairan trend cabaran makan makanan pedas sangat popular dalam masyarakat negara ini sehinggakan banyak produk edisi khas menggunakan cili paling pedas dikeluarkan. Oh ya! Ayam goreng jenama popular juga mengalami transformasi tiga kali ganda pedas. ARTIKEL BERKAITAN: Aneka nasi goreng premium, harga 'food court' di Food Monger Dek kerana trend itu juga memberi idea kepada pelawak dan pelakon Tauke Jambu untuk tampil dengan menu menggunakan konsep popular itu iaitu Mie Keren. Bahan asasnya adalah mi segera jenama popular dari Indonesia namun Tauke menambah kreativiti dengan mempelbagaikan penggunaan bahan untuk menaik taraf lapan menu yang disediakan kepada pelanggan, termasuklah penggunaan cili yang banyak. Mungkin nampak seperti mi segera biasa tetapi kepedasannya memang membuatkan anda berpeluh. Penulis mencuba salah satu menunya iaitu Pedas Cinta yang dihidangkan bersama kicap, cili, telur goreng termasuklah daging cincang dan akhirnya memang licin semangkuk. Tapi nanti dulu. Mesti ada yang tanya pedas sangat ke? Mie Keren menyediakan tiga tahap kepedasan berbeza iaitu Gegirl untuk yang tidak suka pedas, Berapi (pedas) dan paling menakutkan tahap Berahi. Cilinya pula bukan cili padi biasa yang sering kita gunakan dalam masakan, sebaliknya ia adalah khas dari Indonesia. Kata Tauke, walaupun cili tersebut mirip dengan yang ada dalam pasaran tempatan namun kepedasannya boleh membuatkan air mata menitis. Antara menu lain yang disediakan di Mie Keren. Bagi memberi kelainan dan pengalaman berbeza, dia sanggup mengimport cili itu selain menggunakan khidmat cef dari negara seberang. Seperti penulis yang memilih tahap kepedasan Berahi, apa yang boleh dikatakan ia memang mantap walaupun peluh bercucuran. Tapi yang menariknya, kepedasan itu tidaklah melampau dan masih boleh diterima tekak selain tidak merosakkan rasa masakan itu. Mie Keren terletak di Tamarind Square, Cyberjaya. Selain Pedas Cinta, Mie Keren menyediakan tujuh menu lain iaitu Soto Keren, Medan, Bencong, Matah, Tek Kicap, Sambal Keren dan Keju. Tak cukup semangkuk, kena juga cuba Soto Keren yang dihidangkan bersama potongan daging kambing dan perahan air limau yang membangkitkan rasa hidangan tersebut. Paling penting sekali harganya juga cukup berpatutan iaitu serendah RM6 sehingga RM12 semangkuk. Di mana nak makan Mie Keren ni? Anda boleh berkunjung ke Food Monger yang terletak di Tamarind Square Cyberjaya. Ia dibuka pada setiap hari setiap pukul 5 petang hingga 2 pagi.