suria

Hidangan signature Nasi Mandy, BBQ Turki pemikat selera di Restoran Sahala

Kebab Daging Stail Turki antara menu istimewa di Sahala Restaurant. Foto AZHAR MAHFOF

RESTORAN yang menawarkan seleksi makanan dari Timur Tengah bukan lagi satu perkara asing di negara kita memandangkan Malaysia memang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan budaya, selain menjadi destinasi utama pelancong dari negara Asia Barat.

Lihat sahaja di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang, pelbagai restoran Arab tumbuh bagai cendawan selepas hujan!

ARTIKEL BERKAITAN: Keistimewaan menu Timur Tengah yang tiada seumpamanya kini di The Westin Resort & Spa Langkawi

Lambakan restoran itu juga membuatkan semakin banyak pilihan boleh dibuat namun untuk mencari hidangan authentic agak sukar.

Nasi Mandy Kambing memang cukup menyelerakan.

Atas sebab itu juga penulis sanggup memandu 45 minit ke Cyberjaya baru-baru ini apabila mendapat tahu ada sebuah premis yang menghidangkan masakan dari Yaman iaitu Restoran Sahala.

Perjalanan itu nampaknya berbaloi kerana hidangan signature mereka cukup menyelerakan terutamanya Nasi Mandy atau lebih dikenali sebagai Nasi Arab dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kebiasaannya Nasi Mandy ini dihidangkan bersama ayam, namun di Restoran Sahala anda boleh memilih untuk dimakan bersama kambing atau pun ikan.

Ayam yang dibakar dalam ketuhar tanah memberikan rasa asli.

Menariknya Nasi Mandy di restoran itu, nasinya yang dihidangkan panas cukup enak dimakan begitu sahaja serta cukup membuka selera.

Apatah lagi, gabungan ayam atau kambing yang dimasak sempurna cukup lembut dan berjus ketika disuapkan ke mulut.

Sudah menjadi amalan masyarakat Timur Tengah untuk menikmati hidangan itu bersama keluarga, Restoran Sahala juga turut menawarkan harga berpatutan namun cukup berbaloi.

Selain Nasi Mandy, antara menu lain yang boleh dicuba termasuk Kambing Madbee dan Ayam Madbee serta Ayam Panggan bersama Nasi.

Pelbagai pilihan set BBQ resepi khas dari Turki.

BBQ dari Turki

Tidak hanya memfokuskan kepada Nasi Mandy, Restoran Sahala juga menawarkan pelbagai hidangan BBQ yang menggunakan resepi khas dari Turki buat pelanggan mereka.

Paling best, cara masakannya turut menggunakan dapur batu-bata menggunakan kayu api yang sudah menjadi kebiasaan di Turki.

Perapan yang menggunakan rempah yang dibawa khas dari Turki memang memberikan pengalaman berbeza apatah lagi ia dimasak segar.

Pemilik Sahala Restaurant, Saeed yang berasal dari Yaman.

Pilihan penulis sudah tentu Kebab Daging Stail Turki, Shish Tawook Stail Turki serta Kofta Daging. Tak cukup sepinggan!

Menariknya di Restoran Sahala, anda juga boleh mendapatkan kad ahli yang memberi potongan 10 peratus setiap kali anda berkunjung ke sana.

Malah jika ada rakan yang ingin menikmati hidangan di restoran itu, anda hanya perlu menangkap gambar kad anda dan mereka masih berpeluang menikmati potongan istimewa itu.

Restoran Sahala terletak di Cottage Walk, Persiaran APEC, Cyberjaya. Ia dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi.

Artikel Lain