JIKA bercakap berkaitan Syria pasti isu pergolakan dan peperangan perkara pertama terlintas di fikiran kita tanpa menyedari negara itu mempunyai sejarah, budaya dan warisan yang cukup hebat. Itu juga terjadi kepada penulis sehinggalah bertemu dengan Chef Rami Al Maket yang juga seorang cef eksekutif di Restoran Amaseena, The Ritz Carlton Dubai dan kebetulan pula beliau berasal dari negara dengan hampir 20 juta penduduk itu. ARTIKEL BERKAITAN: Tak jual kalau tak dapat 'green light' ibu... Masakannya 'Acah-Acah', tapi sedap macam mak masak! Hidangan istimewa dari Syria iaitu Kebab bersama sos ceri memang menyelerakan. "Jika anda merasai keenakan hidangan dari Syria ia barangkali perkara terbaik pernah berlaku dalam hidup anda! Jangan terlalu percaya dengan apa anda dengar dalam berita kerana di sebalik itu cukup banyak keindahan yang boleh diterokai," katanya memulakan bicara. Kehadiran Rami di The Westin Resort & Spa Pulau Langkawi mempunyai satu misi iaitu menyediakan pelbagai hidangan terbaik dari negara Timur Tengah seperti Turki, Iran, Arab Saudi, Yaman dan tidak ketinggalan Syria menerusi 'The Scents of Arabian Night' secara eksklusif di Tide Restaurant hotel berkenaan. Sejujurnya penulis bukanlah penggemar makanan dari Asia Barat dan mungkin hanya mengetahui atau pernah merasai beberapa hidangan seperti Nasi Arab, Humus, kebab dan Baklava. Chef Rami (kanan) bersama dua lagi cef yang bertanggungjawab menyediakan hidangan enak di Tide Restaurant, Hussam Al Hariri (tengah) dan Glen Roberts. Namun bersaksikan laut Andaman bersama angin sepoi-sepoi bahasa serta dilatari alunan ombak telah mengubah segalanya saat hidangan dari Syria iaitu Kebab Ceri menggunakan kambing dimasak bersama sos ceri resepi keluarga Chef Rami. "Resepi ini saya belajar daripada nenek saya dan ia sebenarnya antara hidangan popular di Aleppo, Syria. Ceri yang digunakan adalah kunci kepada resepi ini," jelasnya saat menghidangkan menu itu kepada tetamu. Tidak cukup dengan itu, Chef Rami memberi amaran itu bukan satu-satunya hidangan utama pada malam itu kerana terdapat beberapa lagi hidangan yang akan membuatkan anda tersandar kekenyangan. Sosej bersama humus dan salad bayam antara menu yang akan membuatkan anda teringat-ingat. Ini kerana kata Chef Rami, makanan Timur Tengah bukan semata-mata mengenai bahan digunakan tetapi ia mempunyai simbolik terhadap sesuatu budaya, rasa dan cara memasak. "Saya bukan sahaja mahu beri anda merasai keenakan hidangan negara Arab tetapi juga cara kami menikmati makanan," katanya. Seperti dijanji, Chef Rami kembali dengan hidangan Kambing Prun menu dari Maghribi yang dimasak dalam periuk tanah liat bersama buah kering dan kacang badam panggang - antara kegemaran kami pada malam itu! Pelbagai jenis pembuka selera termasuk Humus cukup enak dimakan bersama roti. Belum reda dengan keenakan itu, tampil pula Daging Kufta Tabrizi yang disumbat bersama buah kering dan kekacang dan dihidang bersama nasi ceri - hidangan klasik dari Parsi. Nasi ceri mungkin pelik bagi masyarakat Malaysia, namun rasanya yang tidak ubah seperti nasi briyani cukup enak ditambah rasa masam dan manis dari buah yang digunakan... Memang enak. "Uniknya masakan ini semua, ia sebenarnya antara menu yang dihidangkan di rumah untuk dinikmati bersama keluarga tetapi mempunyai aroma serta menggunakan rempah dan bahan yang menjadikannya mewah," jelasnya lagi. Bebola daging bersama nasi ceri sangat unik tetapi enak seperti nasi briyani. Paling penting kesemua hidangan istimewa ini adalah menu sama yang dihidangkan di Amaseena tempat Chef Rami bekerja dan restoran terkenal itu disenaraikan sebagai 10 restoran terbaik di Timur Tengah oleh TripAdvisor. Namun sebelum semua hidangan hebat itu dihidangkan, Chef Rami memulakan sesi makan malam itu dengan pembuka selera seperti Labneh bersama Kaak, salad termasuk Muhamarah iaitu kacang panggang hancur bersama cili, buah delima dan jintan putih. Tidak cukup dengan itu, terung yang dicampur bersama dadih bawang putih dah tahini yang dinikmati bersama roti pita memang membuka selera. Tidak cukup dengan kambing bakar, Chef Rami menyediakan set lengkap bersama ayam dan daging dalam pinggan sama. Itu belum lagi hidangan Udang Parsi bersama sos asam jawa dan ketumbar benar-benar terangkat. Bahagian paling terbaik makan malam kami pada hari itu sudah tentu pencuci mulut! Suapan pertama Krim Kunafa bersama sirap buah pelaga dan ais krim kacang pistacio bagai menari dalam mulut. Sedar tak sedar habis semangkuk! Itu belum lagi puding susu bersama puri aprikot kering dan air jingga benar-benar membuka mata tentang keistimewaan hidangan Timur Tengah yang tiada seumpamanya. Aneka manisan bersama teh pelengkap hidangan. Sebenarnya makan malam ekskelusif itu bukan sahaja dibuat untuk kami sebaliknya Tide Restaurant mempelawa orang ramai untuk turut mencuba hidangan terbaik Chef Rami bersama seorang lagi cef terbaik Amaseena iaitu Hussam Al Hariri dan Chef Eksekutif The Westin Resort & Spa, Glen Roberts sehingga 31 Ogos depan. The Scents of Arabian Nights di Tide Restaurant dibuka pada setiap hari dari pukul 7 malam hingga 11 malam. Untuk tempahan boleh mengunjungi aplikasi Tableapp atau hubungi 04-960 8888 atau e-mel ke [email protected].