suria

Kari Mata Ikan Tuna Nasi Kandar Apollo memang 'terangkat', pasti buat anda menjilat jari!

Pemilik Nasi Kandar Apollo menunjukkan menu istimewa di Nasi Kandar Apollo iaitu Kari Ikan Mata Tuna Yellow Fin yang didatangkan dari Acheh, Indonesia.

KETIKA ini pasti ramai yang sudah berasa jemu menikmati hidangan seperti rendang, lemang, ketupat selepas lebih seminggu menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pastinya nasi kandar yang disajikan dengan pelbagai kuah kari berserta ikan atau ayam menjadi pilihan sebagai menu makan tengah hari yang bukan sahaja enak tetapi mudah diperolehi.

Bagi yang masih terfikir-fikir di mana nak dapatkan sepinggan nasi kandar Melayu yang sedap, apa kata anda berkunjung ke Nasi Kandar Apollo yang terletak di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, 24 jenis sambal boleh buat air mata meleleh tanpa sedar, tak tahan pedas pesan saja sambal kicap!

Selain Kari Mata Ikan Tuna Yellow Fin dan Kari Bawal Cermin, Nasi Kandar Apollo turut mempunyai pelbagai menu yang memikat selera anda.

Pertama kali menjejakkan kaki ke restoran milik Sarina Shafie itu baru-baru ini, memang sangat berbaloi walaupun penulis tidak biasa ke kawasan MAEPS... tapi bak kata bidalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalannya!

Kuah kari yang dihidangkan memang membuatkan anda menjilat jari kerana rasanya yang tidak terlalu 'berat' ditambah pula apabila digaul dengan sambal belacan memberi penangan berbeza.

Ikan Tuna Yellow Fin dari Acheh

Apa yang boleh penulis katakan, perjalanan ke Nasi Kandar Apollo tidak merugikan saat dijamu hidangan istimewa iaitu Kari Mata Ikan Tuna Yellow Fin yang diimport khas dari Acheh, Indonesia, dan mendapat sentuhan air tangan tukang masak dan juga pemiliknya.

"Kari Mata Tuna Yellow Fin ini hanya dihidangkan secara eksklusif di MAEPS sahaja! Setiap hari memang akan licin sebab ia terhad.

Nasi kandar bajet yang lengkap dengan pelbagai lauk hanya RM10. 

"Memang rugi kalau tak cuba sebab ikan Tuna ini kami import dari Acheh," kata Sarina saat menyajikan menu itu kepada penulis.

Isinya yang tebal, manis memang cukup menyelerakan apatah lagi dimakan bersama nasi berserta kuah kari campur yang pekat gabungan kari ikan, kari ayam serta kuah hitam pedas. Memang terangkat dan menjilat jari!

Cerita Sarina, seekor Ikan Tuna Yellow Fin yang diimport mempunyai berat tidak lebih dari 80 kilogram bagi mendapatkan kepala berserta mata ikan yang besar untuk dihidangkan kepada pelanggan.

Kata Sarina, dia cukup bertuah apabila mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Selangor yang membantunya mendapatkan bekalan selain menyediakan lokasi restoran yang terletak di Laman Perikanan MAEPS.

Kari Ikan Mata Tuna Yellow Fin memang membuatkan anda teringat-ingat selepas menikmatinya.

Tidak cukup dengan menu Kari Ikan Tuna Yellow Fin, Nasi Kandar Apollo turut menyediakan beberapa hidangan istimewa lain seperti Kari Bawal Cermin serta Ayam Masala yang menggunakan rempah ratus istimewa.

Periuk Apollo rahsia nasi lembut, beraroma

Tidak hanya mementingkan lauk-pauk, Sarina berkata, nasi yang dihidangkan juga cukup istimewa apabila menggunakan periuk khas dipanggil Apollo untuk mengukus beras.

Cerita Sarina, periuk berbentuk silinder itu digunakan bukan sahaja kerana ia mampu mengukus nasi dalam kuantiti yang banyak tetapi ia dapat masak sekata selain memberi aroma menyelerakan hasil penggunaan rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih serta bawang.

"Orang Utara terutama di Kedah memang biasa pakai periuk Apollo apabila kenduri kerana ia boleh kukus 12 rak sekali gus selain nasinya nanti lebih lembut dan tidak berderai.

Pelbagai pilihan minuman dan paling special Teh Ais Puding.

"Memang sudah jarang orang menggunakan periuk Apollo itu tetapi di restoran ini saya ingin kembalikan kegemilangan periuk berkenaan," katanya.

Nasi bajet serendah RM7

Bagi yang gemarkan makanan ringkas dan bajet, tak usah bimbang. Nasi Kandar Apollo turut menyediakan dua set nasi kandar serendah RM7 hingga RM10.

Pilihan set RM7 didatangkan dengan nasi bersama sayur kobis, Ayam Masala berserta kuah campur dan sambal belacan yang cukup menyelerakan.

"Set bajet ini mungkin murah tetapi kualiti dan rasanya bukan dibuat sekadar ala kadar... seperti tagline kami 'Tak Sedap, Hantar Balik'. Alhamdulillah setakat ini tiada yang hantar balik tetapi tambah pesanan!," ujarnya.

Pemandangan di restoran Nasi Kandar Apollo juga sangat indah.

Bagi yang ingin set lengkap, anda hanya perlu tambah RM3 dan disajikan dengan nasi, sayur kobis, ayam Masala, berserta kuah campur, sambal belacan, cili hijau, ikan masin termasuk sebiji telur rebus. Memang kenyang sampai esok!

Hendak ke restoran itu sangat mudah, anda hanya perlu menaip Nasi Kandar Apollo MAEPS sama ada di aplikasi Waze atau pun Google Maps. 

Ia dibuka setiap hari, pukul 10 pagi hingga 10 malam dan jangan bimbang tempat letak kereta cukup besar selain terdapat kemudahan surau dan pemandangan tasik yang indah sambil menikmati Nasi Kandar Apollo.

Artikel Lain