suria

Tak jual kalau tak dapat 'green light' ibu... Masakannya 'Acah-Acah', tapi sedap macam mak masak!

Daging Salai Masak Lemak, Pajeri Terung, Ayam Goreng Berempah serta Masak Lemak Labu Pucuk Paku antara hidangan yang mendapat sambutan hangat pelanggan di Acah-Acah. Foto Instagram @acahacah_acahacah

JIKA ada yang biasa berkunjung ke Empire Damansara, Petaling Jaya pasti sukar untuk mendapatkan hidangan Melayu kerana kebanyakan restoran di situ menawarkan seleksi makanan segera dan barat.

Tapi tak usah bimbang sebab restoran Acah-Acah bersedia untuk memenuhi keinginan selera masakan Melayu anda dan paling penting sedap macam air tangan mak yang masak!

ARTIKEL BERKAITAN: Kari Mata Ikan Tuna Nasi Kandar Apollo memang 'terangkat', pasti buat anda menjilat jari!

Pemiliknya Dena Rahman memberitahu, di Acah-Acah mereka menyediakan masakan comfort food yang ringkas namun membuatkan sesiapa sahaja tak angkat kepala ketika menikmati hidangan tengah hari.

Setiap minggu menu makan tengah hari di Acah-Acah akan ditukar. 

Kata Dena, setiap minggu dia akan menukar menu tengah hari agar pelanggan tidak bosan namun ada tiga menu tetap yang disediakan iaitu set Daging Salai Masak Lemak, Ayam Masak Kicap dan Ikan Cencaru Sumbat Sambal.

Setiap set itu akan didatangkan dengan nasi, telur dadar dan ulam-ulaman.

"Tiga menu ini adalah best seller di Acah-Acah... sekiranya tiada memang akan ada 'rusuhan' daripada pelanggan kami!

"Tapi setiap minggu kami akan ubah atau tambah resepi lain agar terdapat lebih banyak pilihan," ujarnya ketika ditemui mStar baru-baru ini.

Dena bukan sahaja pemilik Acah-Acah tetapi turut bertindak sebagai tukang masak. 

Antara menu lain yang terdapat di Acah-Acah untuk makan tengah hari adalah Asam Pedas Ikan, Ayam Goreng Berempah, Pajeri Terung, Ikan Goreng Assam, Masak Lemak Labu Pucuk Paku dan sebagainya.

Paling penting harga set yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu RM15 sahaja.

Bercerita lanjut mengenai Acah-Acah, Dena memberitahu dia sendiri akan ke pasar membeli barang keperluan memasak termasuk memasak semua juadah untuk pelanggan.

Kata Dena, bagi memastikan semua masakan itu sedap, ibunya akan merasa terlebih dahulu sebelum memberi green light untuk dijual kepada pelanggan.

Ruang makan yang selesa di Acah-Acah. 

"Semua resepi memang daripada ibu yang saya warisi tetapi beliau tetap akan jadi gate keeper dan pastikan semua makanan yang saya masak menepati piawaian tertentu.

"Alhamdulillah ramai sukakan menu yang Acah-Acah hidangkan kerana di kawasan ini memang agak sukar mencari restoran menyediakan masakan Melayu," jelasnya.

Tidak cukup dengan makan tengah hari, Dena memberitahu restorannya turut menyediakan hidangan minum petang seperti cekodok pisang dan keropok lekor dan cendol.

Paling penting, jika ke Acah-Acah anda kena order kopi segelas kerana ia bukan biasa-biasa tau sebab Dena menggunakan kopi Tuku yang diimport khas dari Jakarta Indonesia... memang terangkat!

Cekodok pisang paling laris sebagai juadah minum petang. 

Mengangkat konsep hipster di sebalik masakan Melayu, Dena memberitahu pada setiap hujung setiap bulan, Acah-Acah menyediakan platform untuk penyanyi sedang meningkat naik atau pun artis indie mengadakan persembahan.

Setiap bulan kata Dena, artis dengan genre berbeza akan ditampilkan untuk menghiburkan pelanggan bermula pukul 7 malam.

Acah-Acah dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 11 pagi hingga enam petang dan ia terletak di Lot 125, Heritage Lane, Empire Damansara.

Artikel Lain