BUAT penggemar makanan, apa kata isikan masa cuti panjang hujung minggu ini untuk menikmati pelbagai jenis makanan di Absolut Food Festival 2019 JB yang diadakan di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru bermula 6 hingga 8 September ini. Lebih dari 150 jenis makanan tempatan termasuk hidangan barat seperti ikan bakar, kambing golek, bakso, biskut, kek, air dan sebagainya tersedia untuk dinikmati di acara yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu. ARTIKEL BERKAITAN: Kari kepala ikan 'padu' di Cosmo Hotel, ruang makan pun lebih selesa... jangan risau harganya mampu bayar! Tidak cukup dengan itu, jenama makanan yang sedang tular seperti Fam Fries, 3 Budak Gemok, Otak King, Ayo Fried Chicken, Nachoslah dan Absolut Chocolat dijangka menjadi tumpuan ramai. Seramai lebih dari 170 usahawan dari Malaysia dan Singapura terlibat pada acara tersebut yang turut mengangkat tema 'retro' menerusi dekorasinya selain dapat memberi peluang kepada pengunjung bergambar. Pelbagai hidangan termasuk manisan disediakan untuk penggemar makanan di festival itu. Festival makanan ini merupakan acara kali kedua yang dianjurkan oleh Absolut Event & Management dan Uda Property selepas menganjurkan acara sama pada April lalu di Shah Alam dan berjaya mendapat sambutan luar biasa sehingga mencecah 250,000 pengunjung membanjiri acara tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Absolut Event & Management, Nurali Nadzwan berkata, penganjuran acara itu adalah salah satu inisiatif syarikat bagi menggalakkan usahawan muda yang mempunyai perniagaan dan ingin mencari platform sesuai untuk ketengahkan produk makanan keluaran mereka secara meluas dan lebih dekat dengan pelanggan. Selain itu, orang awam juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang pelbagai dalam satu tempat sama sambil dapat melihat persembahan-persembahan di pentas utama termasuk meet and greet bersama selebriti tanah air dan juga Singapura. Sementara itu, pada acara sama turut diadakan pameran kediaman yang ditawarkan oleh syarikat perumahan Uda Property dalam memberi peluang kepada pengunjung memiliki rumah mampu milik.