suria

Menu makanan laut harga berbaloi, sos ‘signature’ Ombak Kitchen menjilat jari...rasa sekali pasti nak datang lagi!

Hidangan Happy Hour Combo yang dipadankan bersama sos signature Ombak Hot Cajun pasti membuatkan selera anda terangkat.

SEBUT sahaja shell out pasti di mata anda terbayang menu makanan laut disaluti sos pilihan yang dihidangkan di atas meja tanpa pinggan.

Sebenarnya fenomena shell out atau seafood spread sudah bertapak sejak beberapa tahun sebelum ini, malah terdapat banyak restoran menjadikannya sebagai menu tarikan utama mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Biar betul? Bufet minum petang di Grand Campbell Hotel hanya RM10 

ARTIKEL BERKAITAN: Gabungan daging brisket salai - sos barbeku gula Melaka di Burnin Pit beri pengalaman makan menakjubkan! 

Bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa kunci kepada keenakan hidangan tersebut sebenarnya bergantung kepada kualiti makanan laut dan adunan sos yang disediakan.

Betul, banyak restoran malah gerai-gerai turut menawarkan menu seumpama ini, namun apakah ia menepati cita rasa penggemarnya?

Nah, kini penggemar seafood spread  tidak lagi perlu susah-susah berfikir untuk ke restoran mana kerana Ombak Kitchen ada jawapannya.

Sharita (kanan) dan Pengurus Pemasaran Ombak Kitchen, Nurul Fakri Arshad menunjukkan hidangan Happy Hour Combo. 

Restoran ini menghidangkan makanan laut premium dengan harga yang berpatutan, dan paling penting kesegarannya terjamin.

“Selalu bila orang terfikir shell out atau seafood spread pasti terfikir ia dari pasar borong, tapi tidak bagi kami di sini.

“Kami cuba menukar tanggapan tersebut dengan memfokuskan bahan premium pada harga berpatutan. Di sini juga semua makanan laut terjamin kesegarannya kerana kami tiada istilah makanan laut sejuk beku,” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ombak Kitchen, Sharita Loo.

Penulis yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Ombak Kitchen pada mulanya berfikiran bahawa restoran ini pasti tiada bezanya dengan restoran makanan laut lain yang ‘bersepah’ di bandar raya Kuala Lumpur.

Namun bak kata orang, belum cuba belum tahu.

Pemilih memilih hidangan Happy Hour Combo seperti mana yang dicadangkan pelayan di situ, dengan sos signature iaitu Ombak Hot Cajun.

Oh ya, bagi yang baru pertama kali mahu menjamu selera di Ombak Kitchen, lazimnya restoran ini mencadangkan pelanggannya agar mencuba set hidangan ini yang ditawarkan bermula pada jam 4 petang hingga 7 malam.

Dekorasi gabungan biru dan hitam memberikan mood tenang dan ruang yang boleh memuatkan hingga 90 pelanggan pada satu-satu masa. 

Hanya kira-kira 15 minit bersembang-sembang bersama kawan sambil meneguk jus teh ais lemon yang termasuk dalam set hidangan ini, datang dua pelayan untuk membantu kami memakai apron plastik.

Selang beberapa minit kemudian, dua pelayan membawa hidangan makanan laut dan menuangkannya di atas meja, dan serta merta aroma rempah daripada sos istimewa yang menyalutinya membuatkan ia begitu menyelerakan!

Mata penulis juga tidak lepas daripada melihat saiz makanan laut yang dihidangkan, dan ternyata ia berbaloi untuk penggemar hidangan shell out.

Dalam hati berkata, ‘memang tak rugi pilih’. Apa tidaknya, dengan udang saiz XL, kupang New Zealand dan sotong yang pejal dan besar, lengkap dengan brokoli, kentang dan jagung, disaluti pula dengan sos istimewa dan digaul bersama nasi panas, fuhhh cukup untuk membuatkan penulis food coma.

Chop! Bukan itu saja, set ini juga menghidangkan udang kara Thermidor Kanada yang saiznya juga bukan alang-alang.

Udang kara Thermidor Kanada yang diadun bersama keju mozarella, cendawan dan seasoning.

Isi udang kara yang lembut dicampur bersama keju mozzarella, cendawan butang dan sedikit seasoning secukup rasa pasti membuatkan anda menjilat jari.

Jangan terkejut, hidangan set ini hanya berharga RM 59.90/pax. Tak percaya? Tapi apa yang boleh penulis katakan, sangat berbaloi dan pasti tak menyesal.

Selain set ini, Ombak Kitchen juga menyediakan beberapa set kombo yang lain atau pelanggan boleh memilih menu ala carte, dan pasti ditawarkan pada harga berpatutan.

Caranya mudah saja, beritahu set yang anda mahukan, dan kemudian pilih satu daripada lima sos istimewa yang sesuai dengan citarasa anda iaitu Ombak Hot Cajun, Dark Chilli Chocolate, Creamy Lemon Butter, Buttermilk Sauce dan Creamy Tom Yam Sauce.

Hanya perlu tambah RM5 sahaja jika anda mahu menambah satu lagi pilihan sos.

Cawangan kedua Ombak Kitchen di Bangsar.

Menariknya di sini, tiada protokol makan seperti di restoran mewah kerana anda boleh menggunakan tangan tanpa segan silu.

“Sesuai dengan tagline kami, pakai tangan jerrr. Jadi secara tak langsung, anda akan menikmati hidangan 100 peratus tanpa gangguan telefon bimbit. Selain fokus kepada makanan, anda juga dapat tumpukan masa untuk keluarga atau rakan,” ujar Sharita lagi.

Pendek cerita, makan di Ombak Kitchen terasa seperti makan di rumah!

Bagi yang ingin mencuba keenakan hidangan makanan laut premium dengan harga berpatutan, bolehlah berkunjung ke mana-mana cawangan Ombak Kitchen yang terletak di Bangsar dan Bukit Jelutong. Ia dibuka pada setiap hari dari pukul 4 petang hingga 12 malam.  

Artikel Lain