SIAPA kaki sotong? Apa kata hangpa mai cuba sotong besaq lengan ni kalau lalu area Kulim, Kedah. Family Laypark Corner menjanjikan tarikan tersendiri kepada mereka yang gemarkan makanan Barat dan masakan tomyam. Mana tidaknya menu yang dihidangkan sangat sempoi, 'nak habaq kat hang' orang Kedah cakap. Sotong besar lengan dengan harga yang berpatutan antara keunikan di restoran ni dan wajib dicuba. ARTIKEL BERKAITAN: Menu makanan laut harga berbaloi, sos ‘signature’ Ombak Kitchen menjilat jari...rasa sekali pasti nak datang lagi! Merupakan kombinasi sempurna yang anda tidak akan lepaskan peluang untuk merasai sendiri aroma kelazatan sos Mongolia yang seakan-akan kari, disiram atas seekor sotong bersaiz besar. Jadi, dek kerana itulah timbul satu idea yang bernas di mana Yusoff Ali, 53, pemilik restoran Family Laypark Corner memperkenalkan sos kari atau sos ‘Mongolia’. Menu istimewa Sotong Royal Padu yang dihidangkan bersama sos Mongolia mendapat permintaan ramai. Bagi anda yang masih terfikir-fikir di mana nak dapatkan sepinggan set Sotong Royal Padu bersaiz besar serta di padankan dengan sos kari Mongolia yang lazat, apa kata anda berkunjung ke Family Laypark Corner yang terletak di Jalan Serdang, Kulim, Kedah. Taip saja di Google Map atau Waze nama restoran ni, anda akan berjaya menemuinya. Tak susah pun. Kedudukannya yang strategik semestinya tidak ada masalah untuk anda sekeluarga berkunjung ke restoran ini. Mana tidaknya berada betul-betul di tepi jalan, restoran ini sering menjadi pilihan pelanggan. Yusoff menunjukkan hidangan istimewa, Sotong Royal Padu. Pertama kali menjejak kaki ke restoran milik Yusoff, pastinya membuatkan penulis terliur melihat menu-menu yang dihidangkan. Wow! Sotong Royal Padu bersaiz besar penuh pinggan bersalut sos Mongolia dihidangkan pasti membuatkan anda 'terangkat'. Bukan itu sahaja, ketika perut anda sedang berkeroncong semestinya aroma lazat rempah ratus sos istimewa ini mampu menaikkan lagi selera. Menurut Yusoff, walaupun baru dua bulan menu istimewa Sotong Royal Padu bersama sos Mongolia ini diperkenalkan, namun ia mendapat sambutan ramai malah rata-rata pelanggan turut memberikan respons positif akan menu ini. Sotong dimasak menggunakan kaedah 'grill' bagi mengekalkan rasa asli sotong tersebut. “Istimewanya ialah sos yang kami gunakan iaitu sos Mongolia. Lebih kurang macam kari, ini adalah resipi keluarga yang saya cuba ketengahkan. Macam biasa saya gunakan rempah ratus dan boleh dikatakan rata-rata mereka di luar sana sangat gemar akan kombinasi sempurna ini. “Selain itu, tak dinafikan masyarakat kita sangat suka dengan kari malah aroma rempah ratus mampu memberikan rasa lebih enak kepada hidangan makanan dan kerana itu juga lah idea ini datang,” katanya kepada mStar. Apa yang penulis lihat, sotong-sotong segar yang dihidangkan segar dimasak pula menggunakan kaedah grill atau panggang dan sememangnya ia memberikan rasa 'kick'. Jelas Yusoff, ini bagi mengekalkan rasa serta aroma menyelerakan sotong tersebut. Puas! Sotong segar bersaiz besar merupakan menu istimewa di restoran ini. Menariknya, bagaimana sotong ini kelihatan 'gemuk' apabila telur yang terdapat di dalamnya dikeluarkan terlebih dahulu dan diperap dengan sos, lalu digoreng. Sesudah itu, telur yang sudah dimasak tadi disumbat pula ke dalam sotong dan kemudiannya dipanggang. Bagi anda yang tertanya-tanya akan harga untuk setiap hidangan Sotong Royal Padu ini, usahlah anda risau kerana harga yang dikenakan tidak seperti apa yang anda bayangkan. Sangat berbaloi! Sotong tersebut dijual dengan harga antara RM25 hingga RM30 seekor dan ia bergantung pada berat sotong itu. Semestinya, memang tidak rugi! Apa tidaknya dengan sotong bersaiz besar dihidang lengkap bersama brokoli, kentang dan sos istimewa. Terdapat pelbagai pilihan makanan terdapat di Restoran Family Laypark Corner ini. “Saya akan pastikan bahan mentah lain terutamanya sotong yang digunakan setiap hari untuk dihidangkan kepada pelanggan, segar. Begitu juga dengan sos Mangolia, semuanya baharu dan segar apabila ia dihidangkan di meja pelanggan,” kongsi Yusoff. Sotong ini boleh dihidangkan bersama pelbagai pilihan makanan seperti nasi goreng, kuetiau, dan juga kentang. Malah terdapat juga hidangan lain yang boleh dicuba termasuklah Tom Yam, makanan barat dan burger. Restoran ini dibuka setiap hari, bermula pukul 4 petang hingga 12 malam. Kalau ada yang nak buat tempahan boleh la hubungi 019-4004776.