suria

Moh nyinggah Yop! Ikan patin, temoleh, kelah masak tempoyak asli Perak pasti buat kome teringat-ingat

Pemilik Restoran D' Rasa Teluk Ensen, Mohd Rashdan Haris (kiri) dan Mohd Rashdan Hadif menunjukkan tempoyak patin stim yangm menjadi antara menu utama.

SEBAGAI anak jati Perak, masakan gulai tempoyak sudah tentu menjadi menu pilihan sekiranya ia dihidangkan ketika kenduri mahupun yang dijual di restoran.

Tapi selalunya rasa teruja melihat gulai tempoyak pasti bertukar kecewa kerana rasanya yang 'ke laut' tidak seperti rupanya yang kelihatan menyelerakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Menu makanan laut harga berbaloi, sos ‘signature’ Ombak Kitchen menjilat jari...rasa sekali pasti nak datang lagi!

Itu belum termasuk rasa tanah lumpur yang kuat sekiranya peniaga menggunakan ikan sungai seperti ikan patin membuatkan selera makan terus terbantut.

Gulai tempoyak menggunakan pelbagai jenis ikan sungai cukup menyelerakan. 

Namun, penulis tetap tidak berputus asa sehingga terjumpa Restoran Rasa D' Teluk Ensen yang terletak di Putra Heights secara tidak sengaja baru-baru ini.

Gulai tempoyak patin buat teringat-ingat Yop!

Jujurnya, keputusan melangkah masuk hanya semata-mata kerana namanya dan sebagai orang Perak penulis meletakkan harapan agar gulai tempoyak yang disediakan menepati selera.

Keputusan yang dibuat tidak mengecewakan sebaliknya ia antara gulai tempoyak patin yang mempunyai rasa enak dan asli seperti diharapkan.

Ikan talapia, patin dan temoleh dimasak stim bersama tempoyak. 

Ikan patin digunakan juga langsung tidak mempunyai bau tanah sehingga penulis menyangka ia bukan ikan sungai selain kuahnya yang pekat membuatkan anda teringat-ingat.

Berkesempatan berbual dengan pemiliknya, Mohd Rashdan Hadif Hamdan, 22, menjelaskan segalanya apabila dia memberitahu punca ikan patin itu mempunyai rasa segar dan tidak berbau adalah kerana ia diternak sendiri menggunakan air gunung di Tanjung Malim, Perak.

"Istimewanya ikan patin ini, kita ternak dalam air mengalir dari sumber air gunung selain pemakanan ikan hanya semata-mata soya dan palet.

Ubi rebus dan pulut yang dimakan bersama kelapa parut serta sambal ikan bilis  memang terangkat.

"Apabila ikan dipotong juga bahagian perut juga memang bersih tanpa kotoran," katanya.

Jika anda tidak gemar ikan patin, tak usah gusar - kerana terdapat pelbagai jenis masakan tempoyak menggunakan ikan air tawar lain ditawarkan seperti talapia, kerai, kelah dan temoleh.

Tidak cukup dengan gulai, pelanggan turut boleh merasai keenakan ikan sungai masak tempoyak stim atau masak taucu selain 20 menu makanan tengah hari yang lain.

Restoran D' Rasa Teluk Ensen terletak di Putra Heights dibuka dari 7.30 pagi hingga 12 tengah malam. 

Lempeng pisang, ubi rebus kelapa sarapan orang Perak

Sebelum kome tersandar kekenyangan, apa kata cuba dulu sarapan pagi stail orang Perak yang mungkin akan jadi kegemaran anda selepas ini.

Kesukaan penulis sudah tentulah ubi rebus bersama kelapa dan sambal ikan bilis - ubinya yang lembut, digaul bersama kelapa parut sebelum dicicah dengan sambal memang nikmat yang tiada bandingannya.

Kalau mahu makanan yang lebih berat, kaunter mi jawa dan mi kari sedia berkhidmat untuk anda selain kuey tiaw goreng yang dibungkus menggunakan daun pisang membangkitkan selera.

Fish platter yang menggunakan ikan sungai wajib dicuba!

Menariknya, menu untuk malam malam di restoran ini sedikit berbeza apabila mengetengahkan sajian barat tetapi yang bestnya ia juga menggunakan sumber ikan sungai.

Jika ingin merasai kelainan, apa kata cuba fish platter yang menggabungkan beberapa jenis ikan dalam pinggan yang sama selain fish and chip serta burger ikan.

Restoran D' Rasa Teluk Ensen dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam. Moh nyinggah Yop!

Artikel Lain