suria

Aiskrim Nasi Lemak Pak Nasser meriahkan sambutan kemerdekaan negara... tambah syok kunyah kacang tanah dan ikan bilis

Aiskrim Nasi Lemak Pak Nasser dan aiskrim Pandan Dodol ditawarkan bermula 28 Ogos 2020.

SEBUT sahaja merdeka, antara perkara yang terlintas di fikiran tentunya Jalur Gemilang yang megah berkibar saban tahun.

Selain mengenang detik keramat itu, banyak lagi cara lain yang boleh kita lakukan untuk memeriahkan lagi sambutan tanggal 31 Ogos 1957 itu.

Sebagaimana diketahui ramai, Malaysia kaya dengan pelbagai juadah enak dan menyelerakan yang diwarisi sejak dulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rindu menu Asean? Jom singgah Santan... ada Gado-Gado, Nasi Padang

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, kini Nasi Lemak Pak Nasser boleh dinikmati di Santan dan T&CO!

Jadi, sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Restoran Santan bekerjasama dengan pengusaha aiskrim terkemuka, Crème De La Crème (CDLC) untuk melancarkan dua perisa terhad yang cukup istimewa.

Aiskrim Nasi Lemak Pak Nasser dihidang bersama ikan bilis dan kacang tanah.

Bermula 28 Ogos ini, anda boleh mencuba aiskrim Nasi Lemak Pak Nasser dan aiskrim Pandan Dodol bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan bersama rakan-rakan dan keluarga.

Apa yang menariknya, aiskrim Nasi Lemak Pak Nasser diadunkan dengan aiskrim kelapa berkrim dan dimakan bersama-sama ikan bilis dan kacang tanah untuk keaslian rasa.

Suapan demi suapan ternyata membangkitkan selera unik apabila rasa sejuk, manis dan berkrim hidangan itu disuntik dengan elemen rasa juadah kegemaran ramai, nasi lemak.

Malah, kehadiran kacang tanah dan ikan bilis memberikan tekstur berbeza untuk dikunyah sambil menikmatinya.

Dua perisa itu diperkenalkan sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia.

Perisa kedua, aiskrim Pandan Dodol yang ditawarkan Santan juga tentunya dapat mengimbau rasa nostalgia hidangan tradisional itu.

Bagi yang berminat, harga yang ditawarkan cukup berpatutan pada RM8.80 secawan, dan boleh didapati secara eksklusif di Restoran Santan Mid Valley dan Sunway Pyramid, atau di Crème De La Crème Uptown Damansara dan Mont Kiara bermula 28 Ogos 2020.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, dua perisa itu juga dihasilkan dengan cukup teliti dan menggunakan bahan semula jadi sepenuhnya.

“Santan bangga untuk meraikan warisan rasa Malaysia bersama-sama dengan CDLC untuk membawakan dua perisa terhad ini.

Dua perisa aiskrim baharu yang menyuntik elemen rasa tradisional sempena Merdeka.

"Walaupun dua perisa ini tidak perlu diperkenalkan lagi di pasaran tempatan, kerjasama ini menjanjikan keunikan dalam setiap suapan yang dibuat dari 100 peratus bahan segar semula jadi.

"Bulan Ogos juga merupakan bulan yang istimewa bagi kami kerana meraikan ulang tahun ke-lima jenama Santan dan kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah menyokong kami, sama ada melalui pesanan di dalam pesawat atau di restoran kami," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain