suria

Macam pelik nasi lemak sos kacang... tapi sekali rasa pasti buat anda terpegun!

Nasi Lemak bersama rendang ayam sos kacang antara menu istimewa di Anggun Chef Cafe Restaurant.

BIASANYA kalau nasi lemak akan dihidangkan bersama sambal ikan bilis atau rendang ayam tetapi pernah anda terfikir untuk menikmatinya bersama rendang ayam sos kacang?

Itulah antara kelainan menu yang disediakan di Anggun Chef Cafe Restaurant yang terletak di Pintu Masuk Selatan MITEC, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Aiskrim Nasi Lemak Pak Nasser meriahkan sambutan kemerdekaan negara... tambah syok kunyah kacang tanah dan ikan bilis

Meskipun kedengaran pelik nasi lemak dimakan bersama sos kacang, namun rasanya cukup enak sehinggakan ia menjadi antara menu signature di restoran itu.



Nasi Lemak yang diberi sentuhan berbeza.

Pemiliknya, Mimie Azura berkata, dia tidak berniat untuk mengubah resepi tradisional nasi lemak yang digemari ramai tetapi ingin memberi sentuhan moden kepada hidangan itu.

Ia juga bagi menyesuaikan selera ramai pelanggannya yang ada di antara mereka dalam kalangan warga asing memandangkan MITEC adalah sebuah pusat yang mendapat kunjungan ramai daripada luar negara.

"Sudah semestinya di Anggun Chef kami turut menyediakan nasi lemak biasa tetapi bagi yang inginkan kelainan nasi lemak bersama rendang ayam sos kacang patut dicuba!," katanya.



Asam pedas antara kegemaran pelanggan.

Tidak hanya nasi lemak, di restoran sama juga, Mimie turut tampil dengan beberapa menu tradisional yang dimodenkan sesuai dengan konsep restorannya, 'Elegance in Flavours'.

Ini jelas Mimie, tidak hanya tertumpu kepada penyediaan menu tetapi kualiti, visual, rasa makanan dan gaya hidup.

Asam Pedas Kambing Panggang dan Seafood Platter juga antara hidangan yang patut dicuba sekiranya ke Anggun Chef Cafe Restaurant.

Bercakap lanjut mengenai menu di restoran itu, Mimie berkata, ia turut menyajikan pelbagai makanan Asia dan Barat atau Fusion yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan di Malaysia.



Pastri dan kopi bagi yang ingin minum petang.

"Sebab itu di Anggun Chef kita pelbagai menu bagi memenuhi citarasa pelanggan termasuklah beberapa hidangan tempatan yang diberi sentuhan fusion bagi memberi pengalaman baharu kepada yang mencubanya.

"Di sini juga kami menyediakan 25 jenis makanan dan paling penting kita tidak menggunakan sebarang perasa tambahan selain hanya menggunakan ramuan berkualiti premium dan disediakan mengikut prosedur dan proses SOP kebersihan ditetapkan," katanya.

Bagi penggemar kopi dan pencuci mulut, Mimie memberitahu di premis itu turut menyediakan kopi yang diimport khas dari Perancis dan disediakan khusus oleh barista.

Malah Mimie turut mengupah seorang cef berpengalaman dalam bidang kulinari dari Perancis bagi menyediakan pelbagai pencuci mulut termasuklah Tiramisu, Mim's Seri Muka, Creme Brule, Molten Lava Cake dan Anggun Belgian Waffle.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain