SIBUK dengan tugas di pejabat kadang kala membuatkan seseorang tidak mempunyai masa untuk memasak. Walaupun ada kalanya teringin untuk menikmati hidangan atau menu tertentu, tetapi ia terpaksa 'dikuburkan' sahaja kerana kekangan masa, tenaga, kemahiran dan sebagainya. Namun dengan adanya banyak produk segera di pasaran, ia umpama menjadi penyelamat kepada semua situasi. Terbaharu, syarikat pengeluar beras terkemuka di Malaysia, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd (Jasmine) memperkenalkan dua rangkaian produk segera terdiri daripada Jasmine XXL Bihun Segera dan Jasmine PusaCream EZ Briyani Meals. Ini merupakan produk pertama yang berasaskan makanan segera selain produk 'tradisi' Jasmine iaitu beras dan bihun tradisional. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine, Lim Swee Keat, rangkaian produk baharu itu dihasilkan untuk memenuhi keperluan semasa dan gaya hidup pengguna. "Beras Jasmine telah menjadi makanan ruji dalam isi rumah Malaysia selama lebih 60 tahun. "Memandangkan pilihan dan cita rasa pengguna semakin berkembang, kami ingin menawarkan produk baharu yang sesuai dengan gaya hidup mereka," katanya ketika majlis pelancaran produk baharu Jasmine, di Serai@Paradigm, Petaling Jaya pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Sepang syurga makanan... 6 lokasi ini pasti buka selera anda, rugi tak singgah! Bagi Jasmine XXL Bihun Segera, ia tampil dengan dua pilihan perisa asli iaitu Sup Ayam dan Kari Putih Pulau Pinang. "Datang dalam hidangan yang lebih besar berbanding jenama lain, satu pek sudah cukup untuk memuaskan rasa lapar anda," ujar Swee Keat. Sementara itu, Jasmine PusaCream EZ Briyani Meals pula merupakan produk sedia untuk dimasak yang didatangkan dengan 400 gram beras PusaCream Basmathi, pes briyani untuk nasi, dan pes Ayam Masak Merah atau Kari Ayam. Pengguna hanya perlu menambah ayam dan hidangan yang sihat, cukup untuk dinikmati empat hingga lima orang dan mampu disiapkan dalam masa 30 minit! Begitu mudah, bukan? Kedua-dua produk baharu ini boleh didapati di kebanyakan pasar raya di Semenanjung Malaysia dan dalam talian melalui e-kedai rasmi Jasmine di Shopee dan Lazada. Jasmine XXL Bihun Segera dijual pada harga RM8 hingga RM13 manakala Jasmine PusaCream EZ Briyani Meals dijual pada harga RM28 hingga RM32. Tambah Swee Keat, Jasmine mensasarkan jualan sebanyak 100,000 pek bagi kedua-dua produk ini tahun hadapan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI