suria

Tu dia... lembu golek pertama di Malaysia sudah muncul! Dari jauh dah bau aroma, cecah air asam nikmat tak terkata

Lembu golek merupakan menu pertama di Malaysia diusahakan peniaga di Gurun, Kedah.

KAMBING golek menjadi hidangan yang tidak asing lagi buat pencinta daging bakar.

Biasanya, menu inilah yang 'laku keras' atau sering dicari dalam majlis-majlis keraian seperti kenduri kahwin, majlis doa selamat mahupun rumah terbuka.

Bagaimanapun, sebuah kedai makan di Gurun, Kedah tampil berbeza apabila pemiliknya, Mohd Hafiz Zulkiflee dan isteri, Sa'diah Abu Bakar memperkenalkan satu menu yang 'rare' (luar biasa).

Bercakap kepada mStar, Sa'diah berkata setelah hampir 10 tahun mengusahakan Restoran D' Top Gurun, mereka kini memperkenalkan lembu golek yang dipercayai menjadi menu pertama di Malaysia dan juga di Asia.

"Sebelum ni, restoran ini terkenal dengan menu Sotong Buncit Jahat. Saya bersyukur sangat walaupun dah empat tahun viral, masih ramai yang beratur.

"Jadi saya dan suami mencari idea baharu untuk ramaikan lagi pelanggan. Lagipun, saya nak buka peluang kerja lebih banyak pada 2023. Malah, azam saya juga nak jadi pembayar zakat paling banyak tahun ni.

Kedai yang terletak di Gurun, Kedah ini pernah tular sekitar empat tahun lalu.

"Jadi saya banyak tanya pendapat orang sekeliling dan akhirnya tercetus idea lembu golek ni. Haiwan bersaiz besar yang tak pernah orang lain terfikir nak buat," katanya.

Jelas Sa'diah, idea ini tercetus daripada bapanya yang berhasrat memiliki kedai makan dan salah satu menu yang mahu diketengahkan adalah daging bakar.

Namun, bapanya meninggal dunia pada 2009 dan Sa'diah yang berjiwa besar akhirnya mengambil keputusan untuk menjual seekor lembu golek yang beratnya 160kg hingga 180kg, sehari.

"Antara sebab saya buka restoran kerana impian arwah ayah dulu teringin nak ada kedai makan sendiri. Ayah kata kalau ada restoran, dia nak gantung paha lembu. Orang nak makan baru lapah dagingnya bagi makan panas-panas.

Lembu golek merupakan menu baharu di Restoran D' Top Gurun.

"Jadi sekarang saya tunaikan impian arwah. Bukan setakat paha lembu tapi kami gantung seekor lembu golek terus. Kami guna lembu daging kampung bersaiz besar barulah rasa isinya manis.

"Perapan pula menggunakan adunan sendiri yang sangat wangi aromanya. Bayangkan daging dengan perapan rempah digolek pada bara api di tepi jalan, bau yang terhasil pasti cukup mengiurkan," tambah Sa'diah.

Daging lembu golek ini enak dimakan dengan pencicah air asam kampung.

Bercerita mengenai cara pengendalian dan cara daging tersebut dibakar, menurut Sa'diah ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Katanya yang memiliki lebih 50 pekerja di restoran, membuat perapan dan menggolekkan seekor lembu bersaiz besar memerlukan tenaga 10 pekerja.

"Sehari kami akan golek seekor lembu. Tapi jika ada permintaan, kami akan golek tiga ekor sehari.

Antara menu lain yang dihidangkan di restoran.

"Sebenarnya nak kendalikan lembu ni sangat susah dan mencabar serta perlukan pekerja yang ramai. Tapi demi kepuasan pelanggan, kami usahakan sebaik mungkin," katanya.

Digandingkan dengan pencecah air asam kampung, daging lembu golek ini enak dimakan begitu sahaja ataupun bersama nasi.

Sa'diah berkata harga bergantung pada berat dan jenis sama ada tomahawk, batang pinang dan 'harimau menangis'.

Restoran tersebut diusahakan sekitar 10 tahun lalu oleh pasangan ini.

"Harapan saya supaya tercetus fenomena baharu di Malaysia dan mungkin juga menarik minat orang luar negara.

"Saya juga nak buktikan walaupun kedai makan kami dalam kampung tetapi boleh menempa nama sebagai restoran nombor satu di utara dan Malaysia," katanya lagi.

Restoran Top D'Gurun

Lokasi: Berhadapan Simpang 3 Guar Nenas, Guar Nenas, 08300 Gurun, Kedah

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari 10 pagi hingga 5.30 petang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain