PROGRAM Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari lalu menyasarkan keperluan makanan harian bagi golongan berpendapatan rendah. Menu Rahmah ialah hidangan tengah hari atau malam yang seimbang nutrisi, lengkap dengan karbohidrat, sumber protein dan sayuran. Program pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini dilancarkan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat di mana menu ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan iaitu RM5.00. Susulan pengenalan Menu Rahmah, ramai dalam kalangan peniaga kedai makan dan restoran mengambil bahagian sambil menjadikannya sebagai satu cara mereka berbakti kepada masyarakat. Antara set Menu Rahmah. Salah seorang peniaga, Muhammad Syafiq Saifullah, 21, menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu golongan sasar terutamanya pelajar dan B40. "Apabila Menteri KPDN memperkenalkan Menu Rahmah ini, kami terus ambil langkah untuk menjualnya. “Pada masa sama lebih kepada nak membantu meringankan kos perbelanjaan makanan golongan sasar memandangkan kawasan saya berniaga ini terdapat empat universiti berdekatan. "Set makanan yang kami perkenalkan pelbagai dan banyak pilihan, tidak terhad pada satu menu saja. Malah, kami beri sentuhan dengan menamakannya dengan nama menteri sebagai identiti kedai kami,” ujarnya ketika dihubungi mStar. Syafiq beri sokongan penuh terhadap Program Menu Rahmah. Menurut pemilik salah sebuah warung medan selera di Cyberjaya, Selangor, ini antara set yang terdapat dalam Menu Rahmah adalah set soto ayam, set nasi serta set ikan. Dia yang sudah menguruskan perniagaan selama lebih tiga tahun berkata, sambutan terhadap makanan murah yang diperkenalkan cukup menggalakkan. “Dalam setiap set nasi tu ada diletakkan sayur. Tapi setiap hari bertukar menu mengikut 28 nama menteri. “Contohnya pada minggu ni saya letakkan lima nama menteri wanita dan satu set Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang terdiri daripada nasi minyak bersama ayam masak merah, acar dan papadom. “Saya bersyukur sangat apabila usaha ini mendapat sambutan memberangsangkan. Selain pelajar-pelajar ramai datang, golongan pekerja ofis juga makan di warung saya,” ujar Syafiq. Syafiq menerima kunjungan Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Bagi Syafiq, inisiatif jangka pendek diperkenalkan kerajaan ini dapat membantu golongan kurang berkemampuan. Harapannya sebagai usahawan muda adalah semoga usahanya ini mampu bertahan sampai bila-bila. Dalam pada masa sama, Syafiq meminta kementerian membuat penilaian semula harga bahan mentah utama bagi meringankan bebanan rakyat. Warong Pecel Lele, Medan Selera TS Sport Arena Lokasi: Jalan Usahawan 2, Cyberjaya, 63000, Cyberjaya, Selangor. Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Ahad dari 8 pagi hingga 4 petang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube