suria

Panik ada tetamu nak datang mengejut? Cuba buat agar-agar lumut, tak sampai sejam dah boleh hidang

Agar-agar lumut merupakan pemanis mulut yang sedap dan mudah disediakan.

MEMANDANGKAN musim perayaan dan cuti sekolah bakal tiba tak lama lagi, ada kalanya tetamu berkunjung ke rumah tanpa diduga.

Lebih mencemaskan apabila mereka membuat panggilan untuk datang ke rumah pada tempoh waktu yang terlalu singkat.

Jadi apakah hidangan atau makanan yang cepat serta mudah disediakan untuk tetamu?

Baru-baru ini, seorang wanita menunjukkan cara penyediaan satu resipi mudah yang boleh dilakukan dalam tempoh kurang sejam.

Dikongsikan oleh Umi Norma, ia merupakan pemanis mulut yang diberi nama agar-agar lumut.

Daun pandan perlu dikisar dan tapis untuk digunakan.

Bahan-bahan

1. 30 gram agar-agar tali

2. 5 cawan air

3. 4 helai daun pandan, dikisar

4. 2 biji telur

5. Santan pekat

6. Secubit garam

7. 1 cawan gula

Agar-agar lumut boleh dihidangkan dalam keadaan sejuk.

Cara-cara penyediaan

1. Rebus agar-agar sehingga larut.

2. Masukkan gula mengikut tahap manis yang diinginkan.

3. Pukul telur bersama santan.

4. Masukkan air pandan yang ditapis bersama sedikit pewarna (jika perlu) ke dalam air yang mendidih.

5. Masukkan garam dan tunggu sehingga semua campuran mendidih.

6. Masukkan pula santan dan telur yang sudah dipukul.

7. Kacau agar-agar tanpa henti sehingga air mendidih.

8. Padamkan api dan tuang ke dalam loyang untuk disejukkan.

Untuk agar-agar sejuk lebih cepat, masukkan ke dalam peti sejuk.

Agar-agar lumut yang sudah sejuk lebih sedap untuk dihidangkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain