suria

Disangka perempuan, remaja lelaki ini diejek kerana suka nyanyi lagu Ziana Zain

PETALING JAYA: Akibat terlalu kerap menyanyikan lagu penyanyi wanita, remaja lelaki ini sering diejek orang disekelilingnya.

Namun kini dia menjadi tumpuan netizen selepas aksi bersahajanya menyanyikan lagu Setiaku Disini nyanyian asal penyanyi Ziana Zain di sebuah majlis perkahwinan September lalu tular di media sosial.

Manakan tidak, Muhammad Farid Mohd Fuad, 24, dilihat selamba menyampaikan lagu bernada tinggi itu dalam keadaan duduk.

Menurut anak kelahiran Taiping, Perak ini, dia sangat meminati Ziana sejak berumur empat tahun sehingga selesa menyanyikan lagu penyanyi itu ketika membuat persembahan.

"Saya kagum dengan mereka yang boleh menyanyi lagu nada tinggi. Sebab itu saya pun selalu buat latihan untuk jadi seperti mereka.

"Kalau masuk bertanding, saya sukar nak bawa lagu lelaki sebab key saya tidak kena dengan lagu-lagu penyanyi lelaki berbanding penyanyi wanita seperti Ziana Zain, Jaclyn Victor dan Celine Dion," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pun begitu kata Muhammad Farid, kecenderungannya mendendangkan lagu-lagu wanita sering disalahertikan.

"Diejek itu perkara biasa buat saya. Sebelum ini pun ramai yang menyangka saya adalah perempuan.

"Ada juga yang minta saya menyanyikan lagu lelaki kerana asyik menyanyikan lagu wanita," katanya.

Menurut usahawan muda ini, dia menjadikan pusat karaoke sebagai lokasi untuk mengasah vokalnya.

"Saya tidak pernah menghadiri mana-mana kelas vokal tetapi kerap berkaraoke.

"Selalunya kawan dan adiklah yang akan menemani dan komen nyanyian saya. Dari situ, saya cuba memperbaiki cara nyanyian", ujarnya.

Setiaku Disini, Taiping, remaja


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi