suria

Cinta Adib bawa sampai ke liang lahad

IMPIAN Nurul Najihah Radzi untuk mendirikan rumah tangga bersama arwah tunangnya, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak kesampaian selepas anggota bomba itu meninggal dunia pada Isnin malam.

Majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini musnah.

Kelibat Nurul Najihah ketika mengiringi arwah tunangnya itu hingga ke di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah mencuri tumpuan ramai.

Jika dilihat dari jarak dekat, sebentuk cincin yang dipercayai pemberian Muhammad Adib sebagai tanda pertunangan mereka masih dipakai di jari manis Nurul Najihah.

Seperti anggota keluarga terdekat yang lain, Nurul Najihah juga tidak dapat menahan sebak dengan apa yang menimpa dirinya.

Kehilangan bakal suami bukan sesuatu yang boleh digambarkan dengan kata-kata, melainkan linangan air mata.

Majlis persandingan pasangan itu untuk sebelah keluarga perempuan sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini di Taman Damai, Mentaloon. Alor Setar, Kedah.

Muhammad Adib dan Nurul Najihah berasal dari negeri yang sama.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib mengalami cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi