suria

Demi cinta, vespa buruk bawa wanita ini jelajah sampai ke Indochina

SIAPA sangka vespa tua yang sering dipanggil besi buruk ini membuatkan seorang wanita terbuka hati untuk menerima lamaran mendirikan rumah tangga.

Malah Nurrashidah Roslan, 23, memberitahu dia tidak menyangka beberapa siri perjalanan menunggang vespa bersama rakan-rakan lain juga akhirnya membentuk keserasian bersama suaminya, Mohd Shafiriey Husin, 30.

"Kami berkenalan melalui media sosial. Asalnya kami berkawan kemudian dia ajak saya keluar. Masa mula-mula pun dia dah bawa saya keluar naik vespa. Vespa dia yang paling buruk sekali.

"First trip kami ke Bukit Fraser. Sejak itu wujud persefahaman antara kami dan cinta mula berputik.

"Dalam tempoh berkenalan sebulan sahaja, dia terus ajak saya kahwin," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Beberapa siri perjalanan menunggang vespa membentuk keserasian di antara Nurrashidah dan suaminya, Shafiriey.

Bercerita lanjut, Nurrashidah atau lebih mesra disapa Shidah berkata, kembara menaiki vespa bersama suami membuatkan dia meminati dunia permotoran dan tidak kisah untuk membonceng motosikal buruk sambil melihat dunia luar.

"Setiap masa saya tertunggu-tunggu dia ajak saya pergi mengunggang vespa. Saya memang suka berjalan tapi kini lebih suka naik motor berbanding kereta.

"Bila sudah berkahwin ni, saya suggest tempat-tempat untuk kami pergi. Saya tak akan berhenti buat aktiviti ini selagi belum mengandung.

"Trip motosikal seperti ini bukan untuk suka-suka sebaliknya mengajar kami untuk bertolak-ansur dan erti kesabaran," katanya.

Kisah pasangan suami isteri ini menjelajah menggunakan vespa Sprint 150 keluaran 1973 menjadi perhatian di laman sosial apabila mereka berjaya membelanjakan hanya RM3,000 sepanjang tiga minggu perjalanan ke Indochina.

Vespa Sprint 150 keluaran 1973 ini membawa Shafiriey dan Nurrashidah menjelajah sejauh lebih 4,000KM.

Bercerita mengenai penjelajahan dia dan suami yang bermula dari Thailand hingga ke sempadan Laos-China, Shidah berkata pelbagai kesukaran dihadapi mereka untuk menjayakan konvoi terbabit termasuk nyaris kemalangan.

"Banyak cabaran ditempuhi ketika roadtrip ke Laos. Di sana kami juga menghadapi kesukaran mendapatkan makanan halal.

"Dalam seminggu, sekali sahaja kami makan nasi selebihnya hanya makan buah dan minum air sahaja.

"Keadaan muka bumi bergunung, jalan berdebu, rosak, berlubang dan berlumpur membuatkan kami pernah beberapa kali kemalangan dan nyaris jatuh gaung," ujarnya.

Vespa, konvoi


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi