suria

Penonton hidu bau limau dalam panggung wayang

KETIKA semua mata tertumpu di skrin hadapan, tidak semena-mena mereka dikejutkan dengan percikan air.

Bukan itu sahaja, pada satu ketika bau haruman limau turut dapat dihidu dengan jelas diseluruh panggung wayang.

Lebih menimbulkan tanda tanya apabila elemen-elemen pelik ketika menonton wayang itu berlaku seiiring dengan babak dalam filem.

Namun jangan gusar kerana semua itu adalah pengalaman yang boleh anda rasai sendiri apabila menonton wayang dengan teknologi 4DX di Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC).

4DX adalah salah satu teknologi hebat di dunia dalam memberi hiburan sinematik premium yang akan mengubah pengalaman menonton filem.

Melaluinya, tenaga dan deria rasa penonton akan diransang hingga meninggalkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan malah tiada di tempat lain.

Menariknya, penonton dapat merasai sendiri lebih 20 kesan khas termasuk haba, asap, angin, semburan air, buih, pencahayaan, getaran serta pergerakan yang pasti mengujakan.

Kabus atau asap antara kesan khas yang terdapat di pawagam 4DX.

Salah seorang penonton yang ditemui berkata dia dapat menghidu kesegaran bau sitrus ketika menonton filem Bumblebee.

"Perkara paling menarik ialah kesan khas yang boleh dihidu. Ketika babak sedang memerah limau, saya juga dapat menghidu bau itu.

"Memang mengujakan kerana saya tak pernah rasai pengalaman seperti ini ketika menonton wayang di tempat lain," kata Tuan Mohamad Hafis Tuan Ludin.

Sementara itu seorang lagi pembaca mStar Online yang turut diberi peluang merasai teknologi 4DX di GSC 1 Utama, Petaling Jaya turut mengagumi kemampuan kesan khas itu.

"Banyak perkara luar jangka berlaku ketika menonton wayang. Ada banyak babak dalam cerita itu yang kemudiannya membabitkan pergerakan kerusi penonton.

"Ia adalah pengalaman yang sangat berbaloi," kata Farah Izureen Izhar Zulhisham kepada mStar Online.

Bagi Mohd Izzat Mohd Khalizan, kesan khas teknologi 4DX itu membuatkan dia seperti berada di dalam filem Bumblebee.

"Anda bukan sahaja menonton tapi seperti mengikuti sendiri perjalanan filem itu," katanya.

Sebagai salah satu pawagam terkemuka di Malaysia, Golden Screen Cinemas komited untuk berinovasi dan mempelbagaikan tawaran serta pengalaman baru untuk pelanggan.

Jadi pelancaran pawagam 4DX di Lembah Klang berupaya menyajikan pengalaman menonton filem yang lebih menarik dan bermakna.

Selepas pertama kali dilancarkan di GSC Paradigm Mall, Johor Bahru pada awal tahun lalu, kini 'kaki wayang' di Lembah Klang berpeluang merasai sendiri kehebatan pawagam premium 4DX di GSC 1 Utama.

Bagi memberi lebih peluang kepada orang ramai merasai kehebatannya, GSC berhasrat melancarkan sebuah lagi pawagam 4DX GSC IOI City Mall dalam beberapa bulan akan datang.

GSC


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi