suria

Sirap sarbat dah sampai KL, Cheras Chowrasta port terbaik 'try' menu popular Pulau Pinang

NAK try makanan best, sedap dan menarik tapi tak tahu nak pergi mana?

Jangan risau sebab #perutlapar kali ini nak bawa anda berkunjung ke Cheras Chowrasta di Taman Ikhsan, Selangor, gerai menjual makanan asli Pulau Pinang.

Sesiapa sahaja yang berasal dari negeri itu pasti pernah mendengar mengenai sirap sarbat atau lebih dikenali sebagai ais tingkap.

Ia sebenarnya minuman yang dihasilkan daripada air batu kisar, sirap, gula dan air kelapa. Proses membuat air sarbat sangat mudah.

Gabungan resipi itu membuatkan minuman ini berasa sedap dan mampu menghilangkan dahaga.

Bermula dengan air batu kisar yang diletakkan ke dalam gelas sebelum dicampurkan dengan sirap gula herba wangi dan air kelapa, kemudian dicampur biji selasih, kembang semangkuk, getah anggur dan isi kelapa tentunya menambah keenakkan dan menyegarkan badan. Dengan pelbagai ramuan sirap sarbat ini dijual hanya RM3 segelas!

ARTIKEL BERKAITAN: Selera besar tapi bajet 'ciput'? Gerai Gelas Besar sesuai untuk anda

ARTIKEL BERKAITAN:  Nak makan ikan segar Semporna? Ikan Bakabah tawar menu pelik dari Sabah

Menurut pemiliknya, Nooradzrene Mohammed Noor, air yang hanya dijual di Lebuh Tamil, Georgetown itu mendapat sambutan ramai sehingga dia berhasrat untuk membawa minuman istimewa ini ke Kuala Lumpur.

"Ais tingkap minuman yang sangat popular di Pulau Pinang. Ia digelar ais tingkap kerana dijual dari tingkap.

"Ia menjadi kegemaran ramai termasuk saya dan ibu kerana dihasilkan menggunakan sirap yang dimasak bersama rempah wangi iaitu 'nari' dan beberapa esen lain selama dua jam," ujarnya kepada mStar Online.

Nooradzrene atau lebih mesra disapa Bob memberitahu gerai yang baru 19 hari dibukanya itu tiba-tiba menjadi tumpuan ramai gara-gara penjualan air sarbat dan beberapa menu makanan Pulau Pinang lain.

Menariknya setiap hidangan di sini merupakan resipi turun-temurun daripada ibunya Norsiah Hashim, 72, yang berasal dari Pulau Tikus, Pulau Pinang.

"Sejak kecil lagi saya sudah mula memerhatikan ibu memasak sebab dulu keluarga ada menjalankan katering secara kecil-kecilan.

"Saya pula sudah dilatih membantu ibu melakukan kerja-kerja menyiang ikan, menggoreng dan memasak jadi tidak kekok untuk saya beraksi di dapur.

"Kini ibu sudah uzur, rugi rasanya jika saya tak mewarisi resipi asli itu," katanya.

Maka tidak hairanlah, Gerai Cheras Chowrasta menjadi pilihan pelanggan terutamanya penggemar hidangan warisan asli Pulau Mutiara itu.

Antara menu lain yang menjadi tumpuan ialah cucur udang dan mee rebus.

Dalam pada itu, Bob berkata dia sangat menitikberatkan penghasilan cucur udang supaya ia sedap dan rangup ketika dihidangkan kepada pelanggan.

"Kekuatan rasa cucur udang itu terletak pada kuahnya. Campuran ramuan istimewa bersama kacang tanah dan dimasak dengan api yang sangat perlahan tentunya memberikan rasa berbeza.

Harga untuk dua ketul cucur udang hanya RM6 manakala RM5 untuk sepinggan mee rebus.

sirap sarbat, Cheras Chowrasta


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi