PERANG antara artis dan netizen terus berlarutan apabila penyanyi Linda Eva dihujani kecaman hanya kerana menegur sikap biadab seorang individu di media sosial.
Linda yang pernah popular menerusi lagu Bulan Cinta berkata, dia terkesan dengan individu tersebut yang memuat naik status “sudah masuk lunch time ni... artis-artis ada duit ke nak makan? Bukan apa, risau..."
Kata Linda yang juga ibu kepada penyanyi Haziq daripada kumpulan Putera Band, dia begitu sensitif apabila dihina berkaitan soal rezeki.
“Orang hina kita pasal makan, saya sensitif bab-bab makan ni... Hal lain saya tak nak sentuh, cuma saya tersentuh hal makan,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Linda bersyukur dikurniakan bakat memasak membolehkan dia menjalankan perniagaan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.