PROSES berhijrah tidaklah semudah yang disangka malah ia menuntut kita untuk melakukan banyak pengorbanan.
Seperti penyanyi dan penyampai radio Nana Mahazan, dia sanggup berkorban dengan membuang semua pakaian lamanya sebagai salah satu cara istiqamah dalam menutup aurat.
"Saya sudah buang benda-benda lagha dan tidak membawa manfaat kepada saya.
"Secara spesitifknya adalah baju-baju lama. Saya sudah humban (buang) atau sedekah kepada orang," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Nana memberitahu suaminya iaitu Raqeem Brian Abdullah yang juga seorang mualaf banyak melakukan perubahan dalam memantapkan ilmu agama.
Bagaimanapun kata Nana, dia tidak pernah memaksa Brian mengikut jejak langkahnya namun suaminya itu lebih banyak memerhati dan cuba belajar.
"Saya tidak perlu paksa dia sebaliknya apabila Brian melihat saya melakukan sesuatu (ibadah), dia akan bertanya dan kemudian belajar. Tak susah saya ajar dia.
"Sampai kadang-kadang saya yang terasa apabila suami lebih banyak membaca al-Quran daripada saya. Jadi saya pun biasanya akan baca sekali dengan suami," ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI