HEBOH kononnya sudah menukar kerjaya sebagai pengawal keselamatan disebabkan tiada tawaran kerja, personaliti media sosial Zukie Mohamad akhirnya tampil mengulas mengenai berita berkenaan.
Menafikan perkara tersebut, Zukie atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad, 33, berkata, dia memakai pakaian pengawal keselamatan itu semasa penggambaran sebuah muzik video.
“Sebenarnya tidak pun (tukar kerjaya). Itu hanyalah penggambaran video raya dan saya memegang watak sebagai pegawai keselamatan.
“Alhamdulillah sekarang ini masih ada kerja. Tetapi, kalau saya kerja pengawal keselamatan pun, saya okay sahaja. Itu satu kerja yang bagus dan baik juga,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, juga tidak berniat untuk merendah-rendahkan pekerjaan tersebut.
Malah, dia mengakui pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Ada yang kecam kata saya merendahkan pekerjaan itu. Tidak sama sekali dan sebenarnya saya juga pernah menjadi pengawal keselamatan satu ketika dulu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zukie juga sempat memberikan nasihat kepada ‘content creator’ supaya lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI