KEHIDUPAN manusia bergantung kepada setiap apa yang dia usahakan. Sama ada dia beroleh keuntungan ataupun kerugian. Tidak ada di atas muka bumi ini yang mahukan kerugian dalam kehidupan, perniagaan, perkahwinan dan yang paling penting dalam amalan. Apabila bercakap soal amal ibadah sudah pasti kita mahukan amalan yang kita kerjakan diterima oleh Allah. ARTIKEL BERKAITAN: 5 amalan hebat di bulan Ramadan... Rebutlah segera wahai umat Islam ketika kita diuji dengan pelbagai musibah Allah telah memberikan petunjuk untuk kita ikuti dan patuhi kerana itulah Allah menyebut mengenai keuntungan bagi sesiapa yang sentiasa berusaha dalam membersihkan jiwanya dan rugilah bagi mereka yang sentiasa mengotorinya. Firman Allah di dalam Surah Ash-Sham ayat 9 dan 10 yang maksudnya: (ayat 9) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (ayat 10) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Solat sunat dan berdoa ketika bangun sahur. Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita mempertingkatkan amal ibadah. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya. Ia boleh di ibaratkan seperti sebuah pasar raya yang menyediakan potongan harga dan promosi yang hebat untuk dinikmati oleh semua pelanggan yang hadir. Maka akan datanglah manusia berpusu-pusu dari segenap tempat untuk mendapatkannya. Antara ganjaran yang Allah janjikan di dalam bulan Ramadan ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang mana amalan pada malam itu akan dilipat gandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan. Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadan, tetapi tidak memperolehi keampunan Allah. Dalam sebuah hadis nabi: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin” - [HR Ibn Hibban 907]. Antara kerugian seorang muslim di bulan Ramadan ialah: 1. Bangun sahur tanpa meminta keampunan Allah Waktu sahur merupakan satu waktu yang sangat penting bagi orang yang mahu berpuasa. Ini kerana pada waktu itu jika seseorang bersahur maka akan mendapat keberkatan. Selain daripada itu, orang yang bangkit sahur dan meminta keampunan Allah maka akan diampuni dosa mereka. Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 17: (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. Rebut ganjaran bulan Ramdan dengan bersedekah. 2. Menunggu waktu berbuka tanpa meminta doa kepada Allah Waktu yang paling sesuai untuk kita memperbanyakkan doa adalah pada ketika hendak berbuka puasa tetapi ramai dalam kalangan kita yang terkadang menghabiskan masa di hadapan televisyen ataupun melayari laman sosial. Sabda Rasulullah: Sungguh orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabulkan dan tidak akan ditolak tatkala berbuka puasa. - [HR Ibn Majah 1743] 3. Menghabiskan waktu siang dengan tidur Tidur tidaklah membatalkan puasa tetapi kata para alim ulama bahawa orang yang menghabiskan waktu siang dengan tidur merupakan orang yang rugi. Bulan Ramadan bulan menambah amal ibadah. Ini kerana pada bulan-bulan yang lain kita akan sentiasa memberi alasan dengan kesibukan urusan dunia seperti kerja, makan, bersama dengan isteri, kawan dan bermacam lagi alasan yang kita cipta untuk tidak melakukan ibadah. Rugilah mereka yang tidur sehingga tidak melakukan ibadah solat, puasa mereka hanyalah lapar dan dahaga ibarat mengisi air ke dalam baldi yang mana baldinya bocor. Sabda Rasulullah: Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar dahaga dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain hanya sekadar bangun malam. Tidur ketika berpuasa adalah amalan sia-sia. Gambar hiasan. 4. Tidak membaca Al-Quran Bulan Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kehidupan. Para alim ulama sentiasa membaca Al-Quran dan apabila sampai di bulan Ramadan mereka akan melipat gandakan bacaan tersebut. Diceritakan bahawa Imam Syafie mengkhatamkan Al-Quran sebanyak dua kali pada setiap hari di bulan Ramadan. Firman Allah di dalam Surah Faatir ayat 29: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Rugi kalau tak baca Al-Quran pada bulan Ramadan. 5. Tidak bersedekah Mereka yang bakhil dengan harta yang dianugerahkan oleh Allah dan tidak menafkahkannya ke jalan Allah dengan memberi makan kepada orang yang lapar. Seharusnya Bulan Ramadan mendidik jiwa kita ke arah belas kasihan kepada golongan fakir miskin yang mana kebanyakan mereka menahan lapar kerana tidak mempunyai makanan. Sabda Rasulullah: Rasulullah adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. - [HR Muslim 4268]. ***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!