suria

Paginya matahari umpama sinar bulan purnama, itulah tanda Lailatul Qadar... Rebutlah ganjaran 10 malam terakhir Ramadan

Hidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan ibadah bersama keluarga, membaca al Quran serta berzikir.

LAILATUL Qadar bermaksud malam pemutusan dan penentuan takdir. Ini kerana pada malam itu, ditetapkan buat para malaikat untuk melaksanakan tugas pada tahun itu.

Allah akan menerangkan kepada para malaikat mengenai rezeki seseorang, ajal maut dan sebagainya yang berlaku pada tahun itu.

Malam Lailatul Qadar merupakan satu malam yang sangat istimewa kepada orang-orang yang beriman yang sentiasa mencari keredaan Allah. Ini kerana Allah mengkhabarkan kepada kita bahawa malam itu ia lebih baik daripada 1,000 bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Amalkan doa Qunut separuh akhir Ramadan... Sesungguhnya Allah malu untuk tidak memakbulkan permintaan hambanya yang angkat tangan berdoa

Kelebihan ini disebabkan kerana turunnya al Quran pada malam Lailatul Qadar yang mana ia merupakan malam yang penuh keberkatan seperti firman Allah dalam Surah Ad-Dukhon ayat yang ke 3 yang maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.



Amalan membaca al-Quran adalah dituntut pada bulan Ramadan kerana ganjarannya berlipat ganda.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah telah berkata: Ketika mana telah datang bulan Ramadan telah bersabda Rasulullah: Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kamu untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatul Qadar sebaik 1,000 bulan, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu. - [HR Nasai 2427].

Sufyan As-Sauri telah berkata: Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari 1,000 bulan pada setiap amalan, puasa, dan bangun malamnya.

Persoalan yang bermain di minda kita ialah apakah yang perlu dilakukan ketika kita bertemu dengan malam yang penuh dengan kebaikan itu?

Di sini ustaz akan menggariskan lima amalan sunnah yang boleh dilakukan pada malam itu:

1. Menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat dan dengan membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah: Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri) ia akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu. - [HR Bukhari 2014].



Melakukan solat berjemaah akan mendapat ganjaran besar.

2. Membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah.

Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu, dan membangunkan ahli keluarganya, dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri. - [HR Muslim 2008].

3. Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Jika pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini maka boleh kita jadikan satu ruang khas untuk kita solat, membaca al-Quran dan berzikir. Ini kerana baginda Rasulullah akan beriktikaf ketika mana masuk 10 malam yang terakhir.



Berdoalah apa saja kebaikan, insyaAllah... Allah akan memakbulkannya.

4. Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunanNya

Aishah pernah bertanya baginda Rasulullah apa yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka kata Baginda: “Katakanlah: Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Engkau Maha Mulia dan suka kepada pengampunan maka ampunilah daku. - [HR Tarmizi 3513].

5. Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah

Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka amalan sedekah itu juga akan dilipat gandakan lebih baik dari 1,000 bulan.

Malam Lailatul Qadar akan berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir. Di dalam Mazhab Syafie berpendapat: Malam Lailatul Qadar terhad pada 10 malam terakhir daripada Ramadan dan ia tidak akan bertukar-tukar dan akan kekal demikian sehinggalah hari Kiamat.



Bersedekah harus dijadikan amalan setiap hari walaupun sedikit.

Sesungguhnya terdapat perselisihan diantara para alim ulama mengenai malam Lailtul Qadar ini adakah ia berubah-ubah ataupun ia tetap pada hari yang sama sampailah ke hari kiamat.

Maka para alim ulama mengatakan yang pasti ialah malam Lailatul Qadar adalah pada 10 malam terakhir dan ia adalah malam-malam yang ganjil.

Rugilah kepada mereka yang telah Allah memberikan peluang pada tahun ini untuk beribadah tetapi mereka mensia-siakan peluang yang ada.

DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

PENCERAMAH BEBAS

Tanda Lailatul Qadar itu disebut di dalam hadis nabi adalah di pagi harinya matahari terbit sejajar tidak mempunyai sinar seperti bulan pada malam purnama. - [HR Muslim 1272]

Seharusnya peluang yang ada ini kita gunakan dalam mencari sinar keampunan yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambanya yang sentiasa patuh dan taat atas perintahNya serta mereka berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkannya.

Rugilah kepada mereka yang telah Allah memberikan peluang pada tahun ini untuk beribadah tetapi mereka mensia-siakan peluang yang ada.

Ingatlah beribadah pada malam itu umpama beribadah 84 tahun. Maka peluang yang ada ini marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah. Jangan nanti dah meninggal baru rasa mahu beribadah kepadaNya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Lailatul Qadar, Ramadan, Addin, Puasa

Artikel Lain