suria

18,000 berstatus asnaf baharu akibat dibuang kerja sejak PKP... Berzakatlah untuk mereka dan rebut pahala berganda di 10 akhir Ramadan

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff (tengah) pada sidang media Kempen Zakat 10 Terakhir Ramadan "Segerakan Zakat Anda: Raih Pahala Berganda" di Wisma PPZ-MAIWP Kuala Lumpur.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang bertujuan bagi membendung penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan kegiatan harian dan ekonomi terjejas.

Ia sekali gus membuatkan ramai peniaga, pekerja yang hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat meneruskan perniagaan, mengharap kepada pendapatan harian dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, ramai di antara mereka yang sebelum ini tidak disenarai sebagai asnaf tetapi disebabkan keadaan ekonomi sekarang, mereka tergolong sebagai asnaf baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih mudah, hanya di hujung jari! PPZ- MAWP perkenal pembayaran zakat fitrah online

Ahmad Shukri berkata, tidak lama lagi seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri dan sebagai seorang Muslim menjadi tanggungjawab umat Islam berkemampuan untuk melunaskan tanggungjawab mengeluarkan zakat kepada golongan memerlukan.

Atas dasar itu juga katanya, Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) turut menyeru umat Islam untuk segera menunaikan zakat pada 10 hari terakhir Ramadan bagi meraih pahala berganda.



Kesemua sembilan kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari.

"Menerusi data yang dibuat oleh MAIWP terdapat 18,000 asnaf baharu yang memerlukan perhatian dan bantuan agar dapat meneruskan kehidupan di waktu sukar ketika ini.

"Jumlah bantuan juga perlu ditambah bagi menampung kos bantuan kepada penerima zakat sedia ada. Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk segera menunaikan zakat walaupun belum cukup haul disebabkan situasi ini," katanya.

Ahmad Shukri ditemui pada sidang media Kempen Zakat 10 Terakhir Ramadan "Segerakan Zakat Anda: Raih Pahala Berganda" di Wisma PPZ-MAIWP Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahmad Shukri memberitahu bagi memenuhi keperluan masyarakat menunaikan ibadah zakat fitrah dan harta dalam tempoh ini, PPZ-MAIWP menyediakan beberapa saluran bayaran zakat bagi urusan itu.

A. 9 Kaunter PPZ-MAIWP (6 di Kuala Lumpur, 2 Putrajaya dan 1 Labuan)

* Waktu operasi: 8.15 pagi - 4.30 petang (dibuka setiap hari)

* Kaedah bayaran: Tunai, cek, kad debit & kad kredit perbankan Islam

B. Portal Zakat Hart

*
Layari www.zakat.com.my (KIRA, BAYAR, SEMAK)

* Cepat, mudah dan beroperasi selama 24 jam

C. Portal Fitrah

*
Layari www.zakat.com.my

*
Harga Fitrah: RM5 dan RM7

* Kaedah bayaran: Kad debit dan kad kredit perbankan Islam

D. Ejen-ejen kutipan zakat

* Perbankan internet (14 bank) iaitu Affin Islamic Bank, Agro Bank, AmBank, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, CIMB Bank, Hong Leong Islamic Bank, HSBC Bank, Maybank, OCBC Bank, Public Bank dan RHB Bank.

*MyEG - www.myeg.com.my

* Pos Online - www.posonline.com.my

*
PayHalal - www.payhalal.my

* eWallet - UMobile & Boost

* Jompay - iRakyat

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Zakat, Ramadan, Covid-19, Aidilfitri, PPZ-MAIWP,

Artikel Lain