suria

Hidup senang lenang tapi asyik buat dosa, itu semua musibah... Awas! Maksiat punca rezeki terhalang

Ada golongan yang bakhil sehingga tidak mahu mengeluarkan zakat tetapi tiada perasaan malu kerana masih mengharapkan kesenangan daripada Allah. - Gambar Sekadar Hiasan

REZEKI merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi yang menceritakan mengenainya.

Rezeki bukanlah sekadar bersifat harta semata-mata tetapi juga datang dalam bentuk kesihatan, zuriat, kawan-kawan yang baik, ibu-bapa, isteri yang solehah, suami yang soleh juga dinamakan rezeki.

Perkara paling penting yang perlu diketahui ialah Allah Maha Pemberi Rezeki. Allah menciptakan semua makhluk dan disisiNya jualah yang memberikan rezeki.

Firman Allah di dalam Surah Adh- Dhariyat ayat 58: Sesungguhnya Allah Dialah yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tutup segera 18 ‘pintu’ ini agar jin, syaitan tidak berjaya rasuk ke dalam diri manusia

Kita wajib meyakini bahawa Allah telah menetapkan rezeki kepada semua hambaNya. Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 6: Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.



Kita wajib meyakini bahawa Allah telah menetapkan rezeki kepada semua hambaNya.

Kata Syeikh Sya’rawi: Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya sama ada halal atau haram sama ada baik atau buruk.

Kita selalu membincangkan mengenai cara untuk menjemput rezeki dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah SAW tetapi dalam masa yang sama kita tidak menyedari ada beberapa perbuatan kita yang menyebabkan rezeki kita tertangguh atau terhalang.

Terdapat sebuah hadis baginda Rasulullah yang menceritakan bagaimana seorang lelaki yang meminta kepada Allah tetapi dalam masa yang sama lelaki itu penuh dengan dosa-dosa yang dilakukan.

Nabi menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jarak yang dilaluinya sangat jauh sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu.

Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku. Pada hal, makanannya daripada barang yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya? - [HR Muslim 1686].

Dalam kitab Belitan Iblis: Syaitan membelitkan kaum yang mempunyai harta kepada empat bentuk:

1. Mereka tidak pernah mempedulikan bagaimana didapatkan harta itu sama ada halal atau haram asalkan hati senang.

2. Mereka bakhil sehingga tidak mahu mengeluarkan zakat dan berharap kepada pengampunan Allah.

3. Apabila dilihat duitnya yang banyak dia akan menganggap dirinya kaya dan lebih baik daripada orang fakir

4. Dalam sudut perbelanjaan dia akan membazir dan berlebih-lebihan.



Syaitan membelitkan kaum yang mempunyai harta kepada 4 bentuk termasuk yang suka membazir.

Antara punca-punca yang boleh menghalang seseorang mendapat rezeki apabila mereka melakukan maksiat dan dosa.

Ini kerana Allah akan menahan rezeki seseorang apabila seseorang itu melakukan maksiat kepadaNya. Sabda Rasulullah: Sungguh seorang lelaki tertahan rezekinya kerana kesalahan yang telah dia lakukan. - [HR Ibn Majah 87].

Apabila seseorang sering melakukan dosa dan maksiat maka pintu rezekinya akan tertutup dan akan tertangguh sehinggalah mereka kembali kepada Allah.

Pasti ada dalam kalangan kita yang akan mengatakan bahawa ramai sahaja di luar sana yang melakukan maksiat tetapi masih mempunyai banyak harta.

Hakikatnya mereka yang mempunyai banyak harta tetapi melakukan maksiat itu adalah musibah keatas mereka.

Itulah yang dinamakan istidraj. Harta yang banyak tidak boleh membeli ketenangan, harta juga tidak boleh membeli kebahagiaan dan harta juga tidak dapat membeli ketaqwaan.



Antara sebab yang boleh menghalang seseorang mendapat rezeki apabila mereka melakukan maksiat dan dosa.

Firman Allah di dalam Surah At-Talaq ayat 2 dan 3: (2) Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

(3) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Apabila rezeki yang dihajati masih belum diperolehi sedangkan doa dan usaha acap kali dilakukan, usahlah menyalahkan takdir.

Kadang-kadang Allah tak bagi apa kita nak, Allah bagi apa yang kita perlu kerana Allah lebih tahu.Jadi hiduplah dalam bersangka-baik dengan aturan Allah kerana Allah tidak pernah kalah dan gagal dalam mengatur..

Imam Hasan Al-Basri berkata: Aku tahu rezekiku tidak mungkin tertukar dengan rezeki orang lain, kerana itu hatiku tenang. Aku tahu amal-amalku tidak boleh digantikan oleh orang lain, maka ku sibukkan diriku bekerja dan beramal. Aku tahu Allah selalu melihatku, kerana itu aku malu bila Allah mendapatiku melakukan maksiat. Aku tahu kematian menantiku, maka ku persiapkan bekalan untuk berjumpa dengan Tuhanku.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Addin, rezeki, maksiat, dosa

Artikel Lain