suria

Jiwa kacau, hati tak tenteram? Ubatilah ia dengan berzikir, pahala dapat Allah pun sayang

Zikrullah adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun.

ZIKRULLAH adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun.

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa hukumnya harus berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat, berdoa dan seumpamanya secara dalam hati dan lisan bagi mereka yang berhadas, berjunub, haid dan nifas.

Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan ini, apatah lagi ia adalah arahan Allah Ta’ala dan Rasulullah SAW yang mempunyai banyak fadilat (kelebihan).

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup senang lenang tapi asyik buat dosa, itu semua musibah... Awas! Maksiat punca rezeki terhalang

Terdapat banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan umat Islam agar memperbanyakkan zikir kepada Allah dan menjelaskan kelebihan menyertai majlis zikir.

Contohnya firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.”

Firman Allah dalam surah surah al-Ra`d, ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Manakala, contoh hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berkeliling di jalan mencari orang yang berzikir. Apabila mereka bertemu kelompok orang yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil: Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan. Maka para malaikat menaungi mereka dengan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia.”

Dalam hadis sahih yang lain riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Musa al-Ash’ari RA, Nabi bersabda: “Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”

Umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (SubhanAllah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (La ila ha illAllah), istighfar (Astaghfirullah) dan lain-lain.

Umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (SubhanAllah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (La ila ha illAllah), istighfar (Astaghfirullah) dan lain-lain.

Mereka juga boleh memilih sama ada berzikir secara perlahan (al-sir), kuat (al-jahr), berseorangan, berjemaah, zikir lisan mahupun di dalam hati dengan jumlah bilangan yang diingini. Inilah antara kesimpulan yang boleh difahami berdasarkan nas dan pandangan ilmuwan warasah al-anbiya’ (pewaris para nabi) menerusi karya Sheikh ‘Abd al-Qadir ‘Isa.

Karyanya yang berjudul Haqaiq ‘an al-Tasawwuf menjadi rujukan utama salah satu silibus subjek teras bidang Usuluddin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Apakah makna zikir dan apakah hukum berzikir dengan kalimah mufrad?

Timbul persoalan, apa sebenarnya makna zikir dan adakah boleh umat Islam berzikir dengan nama secara mufrad (kalimah tunggal) dari kalangan nama-nama Allah sahaja seperti 'Allah Allah' atau 'al-Rahman al-Rahman' atau ‘Ahad Ahad’?

Menurut ringkasan fatwa Pejabat Mufti Mesir (Dar al-Ifta' al-Misriyyah) bertarikh 26 Ogos 2014, erti zikir menurut istilah atau syarak ialah ingatan seseorang hamba kepada Tuhannya 'Azza wa Jalla, sama ada semata-mata mengingati zat-Nya atau sifat-sifat-Nya atau segala perbuatan-Nya atau hukum-hakam-Nya atau membaca kitab-Nya atau mengadu dan berdoa kepada-Nya atau memuji-Nya dengan penyucian, pujian, pengesaan, kesyukuran dan pengagungan.

Zikir kepada Allah Ta’ala dengan semua sebutannya (sighah) berfaedah jadi ubat untuk penyakit-penyakit hati, sebutan zikir ada pelbagai jenis, antaranya datang dari Rasulullah, para sahabat, para tabi'in, para ulama, para arifin, dan setiap sebutannya ada kesan pada hati secara khusus dan tertentu.

Contoh sebutan zikir ialah 'Allah Allah', atau 'al-Latif al-Latif', dan begitu juga lafaz domir (kata ganti diri) 'huwa huwa (Dia Dia)' dan zikir dengan semua lafaz ini hukumnya adalah harus bukan bidaah.



Berzikir kemudian berdoalah, agar Allah menerima permintaan kita.

Bagaimanakah penggunaan lafaz ‘Allah’ dari perspektif bahasa Arab?

Adapun zikir lafaz mufrad seperti ‘Allah’ atau ‘al-Rahman’, ia adalah munada (yang diseru) dihilangkan huruf nida'nya (yakni dihilangkan kalimah 'ya' yang bermaksud 'wahai'). Munada termasuk kalangan kalam mufid (ayat lengkap) kerana mereka mentakwilkan huruf nida' dengan makna 'aku menyeru', dihilangkan huruf nida' adalah harus dan tersebar penggunaannya dalam bahasa Arab.

Adakah Nabi dan para sahabat tidak buat (al-tarku), maka hukumnya haram?

Ada yang berpendapat zikir isim mufrad tersebut tidak disyariatkan antara sebabnya adalah tiada dalil daripada Rasulullah dan salaf soleh. Para ulama bersepakat bahawa al-tarku (ertinya lebih kurang: tiada dalil daripada Rasulullah dan sahabat menunjukkan hukumnya adalah haram) bukanlah ia satu-satunya cara pendalilan, kerana cara pendalilan adalah menggunakan nas (al-Quran dan hadis), ijmak dan qiyas.

Maka, al-tarku bukanlah satu-satunya cara untuk keluarkan hukum syarak, ini adalah kesepakatan dalam kalangan ulama Islam, dan di sana terdapat shawahid dan athar (dalil) menunjukkan bahawa para sahabat sendiri tidak berpandangan bahawa apabila Rasulullah tidak buat maka hukumnya pasti haram atau makruh; dan demikianlah apa yang para fuqaha fahami sepanjang zaman.

Adakah lafaz zikir 'Allah' sahaja tiada makna pengagungan kepada-Nya?

Terdapat bantahan berkenaan zikir mufrad (Allah Allah) kerana tiada padanya makna pengagungan (ta'zim), maka perlu sempurnakannya (contohnya Allah Akbar) agar ia ada makna pengagungan.

Sesungguhnya zikir ‘Allah’ secara mufrad mengandungi makna pengagungan dan inilah yang difahami para ulama (antara contohnya) Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa isim mufrad 'Allah' mengandungi makna pengagungan tanpa memerlukan syarat ia mesti dalam ayat yang sempurna. Inilah sebahagian fatwa dari Mufti Mesir berkenaan isu zikir ‘Allah Allah’.



Umat Islam digalakkan berdoa selepas menunaikan solat dan jangan terus meninggalkan tempat sembahyang.

Kesimpulan dari beberapa nas, pandangan para ulama dan ringkasan fatwa Mufti Mesir ini ialah, zikir merupakan amalan yang sangat penting dan tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan selagi tidak bercangah dengan syarak seperti berzikir di dalam tandas secara lisan.

Selain itu, diharuskan untuk berzikir dengan kalimah mufrad seperti ‘Allah Allah’ atau ‘Ahad Ahad’ atau ‘al-Rahman al-Rahman’ dan ia bukanlah bidaah atau haram yang menyebabkan seseorang itu masuk ke neraka.

Apatah lagi terdapat hadis sahih riwayat Imam Muslim, Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad dengan lafaz sedikit berbeza, Rasulullah bersabda: “Tidak berlaku kiamat sehinggalah tiada lagi disebut Allah Allah”.

Menurut ulama yang mensyarahkan hadis ini iaitu Imam Mulla ‘Ali al-Qari dalam kitab Mirqah al-Mafatih Sharh Mishkah al-Masabih dengan memetik pandangan Imam al-Tayyibi bahawa kiamat tidak berlaku selagi mana masih ada orang yang menyebut ‘Allah Allah’ dan masih ada orang yang menyembah Allah Ta’ala.

Ini bermakna, hadis ini juga dijadikan antara dalil bahawa dibolehkan zikir ‘Allah Allah’. Berzikir juga menjadi petanda menunjukkan seseorang itu beriman kepada Allah. Maka, berzikirlah walau sekadar ‘Allah Allah’!

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Zikir, Addin, Tasbih, Mufrad,

Artikel Lain