suria

Pakai aksesori menyerupai capal Rasulullah, apakah hukumnya di sisi Islam?

Pelbagai aksesori seperti cincin seakan-akan menggunakan logo yang dikaitkan dengan capal Rasulullah S.A.W.

SEJAK kebelakangan ini timbul isu dalam kalangan masyarakat apabila wujud jenama produk yang menghasilkan aksesori seakan-akan menggunakan logo yang dikaitkan dengan capal Rasulullah S.A.W.

Ia bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa pelanggan tetapi turut menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat yang berbeza pendapat mengenai penggunaan logo capal tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesungguhnya tiada batasan pengorbanan Rasulullah... ketahui 6 amalan melayakkan kita bersama baginda di negeri abadi

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah menjelaskan isu bertabaruk (mengambil keberkatan) pada lakaran capal yang dibentuk dengan athar para Anbiya, auliya dan para solihin ketika hidup mahupun ketika telah wafat, sebahagian besar ulama mazhab yang empat telah bersepakat akan keharusannya.

Kata Dr. Luqman, antara contoh-contoh tabaruk yang ada disebut dalam perbincangan tabaruk ialah;

1. Rasulullah S.A.W. sendiri apabila mencukur rambutnya ketika melakukan haji Wada’ (haji terakhir Baginda) Baginda memberikan rambut Baginda kepada seorang sahabat dan Baginda memerintahkan agar diagih-agihkan kepada sahabat lain.

2. Saidina Umar R.A. memegang mimbar Nabi sebelum beliau berdoa lalu mengusapkan pada wajahnya.

3. Saidatina Asma’ R.A. mengeluarkan baju Qamis Baginda untuk digunakan sebagai ubat, dicelupkan jubah Baginda ke dalam air dan diberikan minum kepada orang-orang sakit dan tidak ada seorang pun sahabat yang mengingkarinya.



Mufti wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah.

4. Para sahabat berlumba-lumba untuk mengambil air ludah dan bekas wuduk nabi lalu menyapukan pada bahagian jasad mereka.

5. Begitu juga bertabaruk dengan menggunakan air zamzam.

6. Imam Sabit al Bunani Rahimahullahu Taala mencium tangan Saidina Anas bin Malik, lalu diletakkan pada wajahnya dan berkata aku telah menyentuh tangan yang telah disentuh oleh Rasulullah.

Imam Al Nawawi Rahimahullahu Taala pada syarah sohih muslim 14/44 berkaitan hadis para sahabat bertabaruk dengan wuduk Nabi.

Maksudnya: Padanya bab bertabaruk pada athar orang-orang solih dan menggunakan lebihan bersuci, makanan, minuman dan pakaian mereka.

"Pelbagai lagi contoh-contoh yang terdapat dalam athar dan perbincangan para ulama. Hakikatnya, ini semua dilakukan kerana kecintaan mereka kepada RasulNya yang menatijahkan tindakan dalam bentuk tabaruk dan tidak lebih daripada itu.

"Ini adalah sebahagian daripada catatan para ulama yang merujuk kepada amalan bertabaruk. Pada asasnya ia memang telah diamalkan tetapi dengan penuh keyakinan dan kepercayaan dengan beriktikad bahawa hanya Allah SWT jua yang mampu untuk memberi manfaat, mudarat dan yang memberi bekas," katanya.

Sementara itu, berkaitan isu lakaran capal dijadikan sebagai lambang yang dikaitkan dengan akidah, Dr. Luqman menjelaskan perlu difahami bahawa selama mana perbuatan seorang muslim itu tidak menyalahi dengan iktikad yang sebenar, tiada siapa boleh sewenang-wenangnya melemparkan kalimah kufur atau syirik.

Jelasnya, para ulama cukup berhati-hati dalam menjatuhkan kufur kepada seseorang muslim dan ia perlu dibuktikan dengan qarinah atau pembuktian yang sebenar-benarnya.

Memetik kata-kata ulama yang perlu dijadikan panduan umum untuk berhadapan dengan saudara seislam kita antaranya ialah: Imam Ibnu Hajar Al Haytami rahimahullahu Taala wafat 974H mengatakan di dalam Kitab Tuhfatul Muhtaj 9/88: (Maksudnya:) Seharusnya bagi seorang mufti berhati-hati di dalam menghukum kekafiran pada seseorang selama mana yang ia mampu kerana bahayanya sangat besar dan takut menghukum yang tidak bermaksud sedemikian itu terutama melibatkan orang awam, maka senantiasa ulama kami yang dahulu dan sekarang berpegang dengan itu.

Berkata Imam Ibnu Abidin dalam kitab Raddul Mukhtar syarah Ad Dur Mukhtar 4/ 229-230: (Maksudnya:) Tidak boleh menghukum kufur seseorang Muslim selagi mana boleh menanggung perkataanya atas sebaik-baik ikhtimal atau padanya kekufurannya itu terdapat makna di sebaliknya, walaupun dengan riwayat yang dhoif.

Kata Dr. Luqman, begitulah sikap ditunjukkan para ulama dalam menangani perkara antara batasan iman dan kufur. Maka begitulah juga perkara berkaitan lakaran capal Baginda dan apa-apa yang terkait dengan Baginda dan bertabaruk dengannya.

"Ia bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu dan bukanlah amalan-amalan khas yang dituntut syarak secara khusus dan perbuatan tersebut hanya berpunca dari kasih dan rindu dan ini tidak memerlukan dalil khas untuk mengharuskannya sebagaimana dalam isu-isu tabaruk yang lain yang tidak nas secara khusus sebagaimana contoh-contoh yang diberikan di atas. Ia adalah bersifat individu dan bukannya bersifat umum kepada semua orang.

"Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan kerana ada sedikit persamaan sudah boleh mendatangkan semangat rindu dan kasih maka pada ketika itu cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagimana tidak bertentangan dengan prinsip syarak," jelasnya.

Berpada dan langkah penjagaan

Menjelaskan mengenai hukum asal tabaruk, Dr. Luqman menjelaskan tidak harus sama sekali untuk menjadikan keharusan tabaruk ini membuka ruang kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi serta menimbulkan fitnah kepada orang awam.

Jelasnya, isu tabaruk adalah isu individu kerana ia berkait dengan rasa cinta serta kasih dan bukannya umum kepada setiap orang.

"Sekiranya dikhuatiri kerosakan boleh berlaku pada orang awam samada dari segi akidah atau hukum fiqh maka ada tuntutan untuk membasminya.

"Maka di sinilah datangnya peranan pihak berkuasa agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari’ah (menghalang sesuatu keburukan) dan ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol tersebut yang dikaitkan dengan Rasulullah," katanya.

Tambahnya, kesilapan yang berlaku ialah apabila neraca ilmiah dalam isu tabaruk sebagaimana yang dihuraikan di atas telah dinafikan sedari awal lalu terus menghukum tabaruk dengan lakaran capal Nabi adalah syirik dan sebagainya dan akhirnya telah melahirkan pula sikap-sikap sinis terhadap apa-apa yang dikaitkan dengan Rasulullah.

Tanpa disedari diri Rasulullah yang dicintai telah dijadikan subjek gurauan dan sendaan.

"Oleh itu dinasihatkan agar dalam isu tabaruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah dan berasaskan prinsip-prinsip syarak dan dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan Rasulullah dan sentiasa menjaga adab kita apabila berbicara berkaitan Baginda.

"Pada masa yang sama menjadi kewajipan kepada kita untuk mempertahan dan membela Rasulullah dalam segenap aspek dan keadaan," ujarnya.

***Ulasan dan perbincangan penuh mengenai isu ini boleh layari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah tajuk Capal Rasulullah, lakaran dan Tabaruk.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain