suria

Best ke tidur meniarap? Perbuatan itulah dibenci Allah... Amalkan 6 cara tidur ikut cara Rasulullah

Terdapat beberapa adab sebelum tidur mengikut sunnah Baginda Rasulullah yang boleh kita ikut.

ISLAM merupakan agama yang amat mengambil berat dalam segala urusan sama ada urusan ketika senang mahupun kesulitan, ketika bangun ataupun tidur, ketika mana menetap atau bermusafir bahkan sekecil-kecil urusan seperti makan minum semuanya ada panduan dan adab di dalam Islam.

Allah telah menciptakan siang untuk manusia bekerja dan mencari nafkah yang halal manakala malam pula diciptakan untuk beristirehat seperti mana dirakam dalam Surah Al-Furqan (Ayat 47): Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.

ARTIKEL BERKAITAN: Solat sunat, menangis cara Ebit Lew tenangkan hati ketika dikecam netizen - “Kalau kita kejar buat kerja baik, Allah bagi rezeki yang tak pernah di sangka”

Allah telah menjadikan malam untuk tidur namun ia perlulah disertai adab kerana tidur juga mampu menjadi satu ibadah. Ini supaya apabila melakukan sesuatu perkara sedikit sebanyak dapat menyebabkan kita mengingati Allah dan mendapat ganjaran pahala.

Adab-adab sebelum tidur mengikut sunnah Baginda Rasulullah ialah:

1. Berwuduk seperti mana wuduknya solat

Rasulullah telah bersabda: Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat. - [HR Bukhari 247].

2. Kibas dahulu tempat tidur

Ini kerana dibimbangi ada semut atau benda asing. Ini berdasarkan hadis Rasulullah: Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu). - [HR Muslim 2714].

Bacaan ketika mengibas pula cukup sekadar: ‘Bismillah’.

3. Membaca 3 Qul

Yakni membaca 3 Qul. Baginda Rasulullah sebelum tidur menadahkan dua tangan dan membaca 3 Qul lalu meniup ke tapak tangannya dan disapukan dari muka ke kepala dan disapu ke seluruh badan hingga ke kaki dan kemudian ke belakang. Ianya diulang oleh Baginda Nabi sebanyak 3 kali.

4. Menutup lampu (dibolehkan guna lampu dalam kadar cahaya yang sedikit).

Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Padamkanlah lampu di malam hari apabila kamu akan tidur, tutuplah pintu, tutuplah rapat-rapat bejana-bejana dan tutuplah makanan dan minuman. - [HR Bukhari 5193].

5. Tidur di sebelah perut kanan mengikut keselesaan.

Ini juga berdasarkan hadis Nabi: ...kemudian berbaringlah kamu di atas perut kamu di sebelah kanan. - [HR Bukhari 247].

6️. Membaca doa tidur

Antara doa yang boleh diamalkan ialah: Ya Allah, dengan namaMu aku hidup dan aku mati. - [HR Ahmad 22362].

Apabila bermimpi baik, maka bergembiralah dan ceritakan hanya kepada orang yang menyukai kita. Bila mimpi buruk, maka ludahlah ke kiri tiga kali, baca ta’awudz untuk meminta perlindungan dan jangan bercerita kepada orang lain. Ubah posisi tidur atau bangun dan solatlah sekurang-kurangnya dua rakaat.

Ketika bangun tidur hendaklah mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikanNya, dan kepadaNya lah kami dikembalikan. - [HR Ahmad 22362].

Berusahalah menjaga adab-adab tidur, cuba elakkan tidur dalam keadaan tertiarap, kaki bersilang atau mengangkat punggung. Islam melarang tidur secara meniarap.

Ada diriwayatkan sebuah hadis: Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas beliau berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah. - [HR Tarmizi 2692].

Hadis lain pula daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan menggunakan kaki lalu berkata: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW. - [HR Abu Daud 5040 & Bukhari di dalam Adab al-Mufrad 1187]

Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafie juga ada menyebut tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh. Ini seperti mana yang disebutkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu`: dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut secara meniarap.

Jelaslah tidur meniarap itu bersifat makruh. Seeloknya dijauhkan dari perbuatan tersebut agar adab tidur kita terjaga dan tidur kita juga menjadi ibadah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain