KEBELAKANGAN ini kita sering dikejutkan dengan berita kemalangan maut yang menimpa rakyat Malaysia. Walaupun mereka yang terlibat bukan dalam kalangan sanak saudara atau kenalan terdekat, namun sebagai manusia yang masih mempunyai hati dan perasaan, ia turut meruntun jiwa kita. Bagaimana untuk mereka yang telah kehilangan orang tersayang reda dalam ujian yang dihadapi. Sebelum saya berkongsi dengan lebih lanjut tentang konsep reda menurut pandangan ulama muktabar, suka untuk saya ingatkan diri sendiri dan para pembaca sekalian bahawa kita adalah manusia yang tidak dapat lari dari diuji walaupun dengan sekecil ujian. ARTIKEL BERKAITAN: Solat sunat, menangis cara Ebit Lew tenangkan hati ketika dikecam netizen - “Kalau kita kejar buat kerja baik, Allah bagi rezeki yang tak pernah di sangka” Namun demikian, yakinlah bahawa ujian yang menimpa bukan sia-sia. Sudah pasti akan ada hikmah dari Sang Pencipta. Anggaplah ujian sebagai salah satu lumrah dalam kehidupan. Sebagaimana janji Allah SWT dalam Surah Al Insan ayat 2-3 yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur, yang Kami menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur. Jika diperhatikan, ujian yang menimpa setiap individu pasti tidak akan sama bagi setiap individu, Ada diuji dengan kehilangan orang-orang tersayang, ada pula diuji dengan kehilangan pekerjaan, dan ada diuji dengan masalah kesihatan dan pelbagai ujian lain lagi. Reda bagi sesetengah individu mungkin senang untuk dituturkan di bibir, tapi belum tentu itu yang benar-benar melekat di jiwa. Di sebalik ujian yang datang sudah pasti Allah SWT tidak akan sekali-kali menzalimi hambaNya. Malahan, ujian yang diberikan adalah selaras dengan kemampuan hambaNya. Perkara ini telah dinyatakan melalui firman Allah SWT melalui Surah Al Baqarah, ayat 286 yang maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.” Reda bagi sesetengah individu mungkin senang untuk dituturkan di bibir, tapi belum tentu itu yang benar-benar melekat di jiwa. Maka, berusahalah untuk melahirkan sifat reda dalam diri. Betapa nikmatnya hidup apabila Allah menghalalkan redaNya kepada seseorang. Reda merupakan salah satu buah dari rasa kecintaan manusia kepada Allah SWT. Malahan, reda juga merupakan darjat yang tertinggi dalam kalangan orang-orang muqarrabin (yang mendekatkan diri dengan Allah). Manusia yang mempunyai sifat reda adalah manusia yang sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat serta pemberian daripada Allah SWT. Di samping itu juga, individu ini mendapat ketenangan dalam menyelesaikan setiap urusan dalam hidupnya. Hal ini kerana ia percaya dengan pegangan akidah yang teguh berteraskan syariat Islam bahawa hidup matinya hanya kerana Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya: Allah reda akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) dengan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. (al-Bayyinah, 98:8). Sentiasalah berdoa kepadaNya bagi meminta petunjuk. Al-Muhasibi menyatakan bahawa keadaan seseorang yang berada dalam sifat reda ialah ketika hatinya merasa bahagia sewaktu menerima takdir yang mendukacitakan. Adapun keadaan yang berlaku sebelum itu bukan dikatakan sebagai reda tetapi niat untuk reda. Malahan manusia yang berada di tahap ini sentiasa berasa senang menerima ketentuan dari Allah SWT sama ada berupa nikmat mahupun musibah. Keadaan seperti inilah sepatutnya yang perlu disuburkan dan dihayati dalam diri setiap individu untuk mencapai maqam reda dan mencapai ketenangan setiap kali diuji. Sesungguhnya ketenangan yang diperolehi di saat menanggung ujian yang berat adalah lebih memberi kesan kepada jiwa manusia. Sifat reda seiring dengan sifat syukur. Dengan kata lain, seandainya manusia telah mencapai tahap syukur dalam diri, pasti ia juga telah reda dengan setiap apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT terhadap dirinya. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran akan ditambahkan lagi kenikmatan bagi hamba-hambaNya yang bersyukur. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, (14:7): Maksudnya: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” Bagaimana merawat hati untuk lahirkan sifat reda? 1. Perbanyakkan zikrullah 2. Tingkatkan ibadat-ibadat sunat 3. Sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah SWT 4. Sentiasa melazimi majlis ilmu dan pertingkatkan kefahaman agama 5. Sucikan hati daripada segala sangka buruk atau kejahatan yang membelenggu 6. Bergaul dengan orang-orang sekeliling yang baik dan berkongsi masalah dengan orang yang boleh dipercayai ***Dr. Norhashimah Yahya adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!