suria

Percaya kepada ramalan zodiak adalah syirik... Allah telah tentukan takdir makhluk 50,000 tahun sebelum langit dan bumi dicipta

Mempercayai zodiak boleh membawa nasib baik dan buruk boleh menyebabkan kekufuran.

KITA tidak dapat nafikan menjadi satu keseronokan apabila kita membaca ramalan-ramalan zodiak terutamanya jika ia menggambarkan sesuatu yang baik dan menyenangkan hati kita.

Bermula daripada ramalan umum, ekonomi diri sehinggalah kisah percintaan menjadikan sesetengah daripada kita ternanti-nanti untuk melihat gambaran nasib pada masa hadapan. Maka tidak hairanlah ramai yang meminta untuk diramal dan mula mempercayai ramalan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersyukurlah ketika diuji dengan musibah kerana hidup menjadi nikmat jika Allah halalkan redaNya

Sedar atau tidak sebenarnya perbuatan meramal ini seolah-olah mendahului takdir Allah? Ia adalah termasuk dalam perbuatan yang syirik.

Zodiak merupakan garisan melengkung khayalan di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas, iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces. Pasti biasa dilihat dan dengar bukan?



Ramalan zodiak termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Mereka yang mempercayainya akan termasuk dalam golongan tukang ramal atau disebut juga sebagai arraaf.

Melahirkan atau dilahirkan dalam Islam pada bulan dan hari apa sekalipun tidak memberi apa-apa perbezaan bahkan mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Baginda Rasulullah telah bersabda: Allah telah menentukan takdir bagi semua makhluk 50,000 tahun sebelum Allah menciptakan langit dan bumi. - [HR Muslim 4797].

Daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barang siapa yang mengambil bahagian dari ilmu bintang maka ia telah mengambil bahagian dari ilmu sihir.” - [HR Abu Daud 3905].

Seorang ulama tabi’in iaitu Qatadah menyatakan bahawa: Allah telah menciptakan bintang-bintang untuk tiga perkara iaitu perhiasan langit, pelempar syaitan dan sebagai penunjuk arah. Maka barang siapa yang menafsirkan selain daripada itu maka ia adalah salah dan merupakan suatu perbuatan yang sia-sia.

Ramalan zodiak termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Mereka yang mempercayainya akan termasuk dalam golongan tukang ramal atau disebut juga sebagai arraaf.

Hanya Allah SWT yang mengetahui perkara ghaib dan kita sebagai hambanya tidak akan pernah mempunyai kuasa meramal perkara yang akan datang kerana yang ada hanyalah kebetulan.



Ramai menggunakan alasan suka-suka untuk melihat nasib mereka berdasarkan zodiak.

Allah SWT berfirman dalam QS. An-Naml ayat 65 yang bermaksud: "Katakanlah: Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah....”

Baginda juga ada bersabda dalam riwayat yang lain: Maksudnya: “Barang siapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (Al Qur’an)”. - [HR Ahmad 9536].

Adapun arraaf (peramal) dan kahin (dukun) dalam zaman moden mungkin hampir tidak berlaku lagi. Namun, ia boleh diqiyaskan dengan memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib.

Mempelajari ilmu bintang seperti kajian bumi, falaq dan astrologi tidaklah menjadi satu kesalahan lebih-lebih lagi ia adalah untuk memberi manfaat kepada manusia.

Tetapi yang menjadi kesalahan adalah mempelajarinya untuk tujuan zodiak, horoskop dan meramal nasib maka hukumnya ialah haram dan berdosa.

Oleh itu apa yang boleh disimpulkan di sini ialah mempercayai zodiak boleh membawa nasib baik dan buruk boleh menyebabkan kekufuran.

Manakala menggunakan zodiak untuk mengetahui nasib sekadar suka-suka atau hobi boleh membawa kepada dosa besar bahkan ianya adalah perkara sia-sia yang boleh menggugat akidah.

Maka jauhilah perkara sebegini dan percayalah Allah telah menetapkan sesuatu dengan sebaiknya yang mana kita hanya perlu berusaha dan berdoa.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain