suria

Tindik sana sini dah jadi trend wanita di laman TikTok! Janganlah berlebihan ketika berhias... Ketahui hukumnya dalam Islam

Mengenai perbuatan menindik telinga, ada beberapa perkara yang perlu diambil cakna dan perhatian.

WANITA dan perhiasan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Allah telah menjadikannya sebagai fitrah di dalam diri kaum wanita.

Tinjauan ustaz di laman TikTok mendapati tindik telinga mula menjadi trend dalam kalangan masyarakat kita. Ada yang berkongsi proses menindik hidung dan ada juga yang dengan bangga menunjukkan bahagian hidung yang bertindik disertai dengan hiasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Percaya kepada ramalan zodiak adalah syirik... Allah telah tentukan takdir makhluk 50,000 tahun sebelum langit dan bumi dicipta

Pertamanya kita perlu merujuk hukum asal bertindik dalam Islam. Walaupun hukum bertindik hidung tidak dibincangkan secara khusus di dalam nas yang jelas, para ulamak tetap berusaha menghasilkan ijtihad semasa.

Ada diriwayatkan sebuah hadis Baginda Rasulullah: Sesungguhnya selepas melakukan solat sunat Hari Raya dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal, lalu Baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah, sehingga terdapat daripada mereka yang memberi anting-anting mereka. - [HR Bukhari 5883].



Ada sesetengah yang cukup berani menindik lidah mereka. Gambar hiasan.

Walaupun ada perbezaan pendapat, ijmak ulamak mengatakan harus menindik telinga kaum wanita bagi tujuan berhias. Namun perhiasannya itu hanya boleh menjadi tatapan suami kerana telinga adalah aurat.

Asal sesuatu perhiasan itu adalah harus seperti mana yang dinyatakan di dalam Tafsir Al-Razi: Setiap perhiasan itu harus melainkan apabila datang dalil yang melarangnya (Fathul Al-Bayan Fi Maqasid Al-Quran 3/311)

Mengenai perbuatan menindik telinga, ada beberapa perkara yang perlu diambil cakna dan perhatian.

1. Perbuatan menyerupai orang bukan Islam (tasyabbuh)

Islam telah meletakkan beberapa garis panduan untuk berhias. Antaranya ialah perhiasan yang dipakai oleh mana-mana Muslim hendaklah tidak menggambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasiq.

Ia berdasarkan sebuah hadis: Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka. - [HR Abu Daud 4031).

Ibnu Taimiyyah pernah berkata: Persamaan dalam perkara lahiriah boleh menyebabkan persamaan dalam akhlak dan amalan. Oleh sebab itulah kita dilarang menyerupai orang kafir - (Majmu’ Al Fatawa 22:154).



Ada pula yang menindik hidung mereka. Gambar hiasan.

2. Berlebih-lebihan dalam berhias

Walaupun hukum asal berhias adalah diharuskan, sebagai umat Islam kita tidak dibenarkan untuk berlebih-lebihan atau melampaui batas. Ini kerana Allah S.W.T tidak menyukai perbuatan ini seperti firman-Nya di dalam Al-Quran: Maksudnya: Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang- orang yang melampaui batas. - (Surah Al-A'raaf: 31).

Hal ini juga telah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis yang mana baginda menegah kita daripada melakukan sesuatu perkara tidak bermanfaat dan berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara iaitu: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-Ash, Rasulullah S.A.W bersabda: Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia.- [HR Ibnu Majah 3605].



Walaupun hukum bertindik hidung tidak dibincangkan secara khusus di dalam nas yang jelas, para ulamak tetap berusaha menghasilkan ijtihad semasa.

3. Berhias hanya untuk suami

Umum mengetahui hukum berhias atau tabarruj hanya untuk yang halal iaitu suami. Hidung juga diketahui bukanlah anggota yang menjadi aurat jadi ia menjadikan segala apa perhiasan yang tidak tertutup boleh ditatapi oleh orang lain.

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu. - (Surah Al-Ahzab: Ayat 33).

Syeikh Maraghi menyatakan ia adalah larangan daripada mempamerkan perhiasan dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki yang tidak berhak seperti wanita zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam (Tafsir Al-Maraghi 22/6).

Jadi berhati-hatilah dalam berhias. Sedar atau tidak perbuatan mempamerkan perbuatan tersebut di media sosial secara tidak langsung menyebarkan syiar orang bukan Islam. Berhiaslah dengan penuh kesederhanaan dan pamerkan untuk orang yang berhak.

Jadilah cantik mengikut Islam kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain