suria

Campur tangan dalam rumah tangga, ibu-bapa tidak harus suruh anak bercerai tanpa alasan dibenarkan Allah

Sebelum ini, acap kali tular kisah melibatkan perselisihan faham antara menantu dan mentua di media sosial.

SELAIN perselisihan antara suami dan isteri, kita juga sering mendengar kisah pertelingkahan antara menantu dan mentua.

Malah, acap kali kita disajikan dengan kisah-kisah sebegitu yang dikongsi di media sosial sehingga ia menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi berbeza.

Antaranya berkaitan masuk campur mentua dalam urusan rumah tangga. Setakat mana mentua boleh masuk campur dalam urusan rumah tangga anaknya? Dan bolehkah menantu mendedahkan aib mentua di media sosial?

ARTIKEL BERKAITAN: Bersyukurlah ketika diuji dengan musibah kerana hidup menjadi nikmat jika Allah halalkan redaNya

Terdapat hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang berkaitan campur tangan ibu bapa dalam keluarga anaknya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“...Ketika Nabi Isma'il a.s datang kepada isterinya, baginda a.s merasakan sesuatu lalu bertanya kepada isterinya; "Apakah ada orang yang datang kepadamu?" Isterinya menjawab; "Ya. Tadi ada orang tua begini begini keadaannya datang kepada kami dan dia menanyakan tentang kamu lalu aku terangkan dan dia bertanya kepadaku tentang keadaan kehidupan kita maka aku terangkan bahawa aku hidup dalam kepayahan dan penderitaan." Nabi Isma'il a.s bertanya; "Apakah orang itu ada memberi pesan kepadamu tentang sesuatu?" Isterinya menjawab; "Ya. Dia memerintahkan aku agar aku menyampaikan salam daripadanya kepadamu dan berpesan agar kamu mengubah daun pintu rumah kamu." Nabi Isma'il a.s berkata; "Dialah ayahku dan sungguh dia telah memerintahkan aku untuk menceraikan kamu maka itu kembalilah kamu kepada keluargamu." Maka Nabi Isma'il a.s menceraikan isterinya."



Sekiranya suami mempunyai adik-beradik yang lain, maka mereka semua perlu ada keselarasan dan persefahaman untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa.

Selain itu, terdapat hadis hasan sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, bahawa daripada Hamzah bin Abdullah bin Umar, daripada ayahnya, yang berkata: “Pernah aku berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi Umar tidak menyukainya.

Lantas beliau berkata kepadaku: “Engkau ceraikanlah dia.” Aku enggan, lalu Umar berjumpa Rasulullah SAW berkata: “Wahai Rasulullah SAW! Sesungguh Abdullah berkahwin dengan wanita yang aku tidak suka. Lalu aku suruhnya bercerai darinya tetapi dia enggan.” Maka bersabda Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abdullah bin Umar! Ceraikanlah isterimu dan taatilah ayahmu."

Sebagaimana yang pernah dikongsi oleh Mufti Wilayah Persekutuan, berkata Imam Abu Jaafar al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar berkenaan hadis Ibn Umar ini: “Hadis ini memiliki faedah yang menunjukkan bahawa menjadi hak seorang bapa ke atas anaknya untuk mematuhi permintaannya. Begitu juga kepada ibunya maka lebih wajib dan mesti dibuat, kerana hak ibu ke atas anak melebihi hak ayah ke atas anak... Berkata Abu Jaaar lagi: Tidak diharuskan ke atas ibu bapa untuk menyuruh anak dengan alasan yang dilarang oleh Allah untuk menceraikan isterinya. Ibu bapa hanya boleh menyuruh anaknya bercerai dengan alasan yang diharuskan Allah, bukan dengan alasan yang berlawanan dengannya."

Terdapat juga hadis lain yang berstatus sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi bahawa seorang lelaki meminta fatwa daripada Abu al-Darda’ RA berkenaan isterinya yang tidak disukai oleh ibunya lalu mengarahkannya untuk menceraikannya. Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ibu bapa ialah pintu syurga yang paling tengah. Jika mahu, engkau boleh memilih untuk mensia-siakannya pintu itu, atau menjaganya dengan baik.”

Imam al-Ghazali telah menyatakan bahawa terdapat sebahagian besar ulama berpandangan bahawa ketaatan kepada ibu bapa itu adalah wajib sekalipun pada urusan yang samar-samar, dan tidak wajib pada perkara yang haram. Jika mereka kecil hati disebabkan anak mereka menjauhkan diri daripada ibu bapa kerana tidak mahu makan (bahan syubhah) maka wajib bagi mereka makan bersama ibu bapa, kerana meninggalkan syubhat ialah warak (sunat) dan reda ibu bapa itu adalah mesti (atau wajib).

Namun begitu, ia tidak sentiasa wajib bahkan ada ketikanya tidak berdosa jika tidak mematuhi mereka seperti yang dapat difahami berdasarkan pandangan Imam Ibn Hajar al-Haitami:



Perkahwinan bukan sahaja ikatan di antara suami dan isteri tetapi ia merangkumi pelbagai perkara.

“Jika perkara itu diarahkan berpunca daripada kebodohan dan kelemahan akalnya, lalu dia menyuruh atau menegah anaknya, dengan suatu perintah yang tidak dianggap menyelisihinya pada uruf sebagai suatu bentuk penderhakaan, maka anak itu tidak dihukum fasiq kerana perbuatan menyelisihi ketika itu, kerana keuzurannya. Begitu juga jika seseorang itu berkahwin dengan perempuan yang dia sayang kemudian ibu bapanya menyuruhnya mentalakkan isterinya, sekalipun perempuan hilang iffahnya (berperangai tidak baik) maka apabila dia tidak mengikut kata-kata ibu ayahnya, itu tidaklah berdosa ke atasnya.

"Namun begitu, terdapat isyarat bahawa yang afdal ialah menceraikannya untuk menepati arahan ibu ayahnya... Begitu jugalah hukumnya terhadap sekalian arahan ibu bapa yang tidak dapat difikirkan melainkan berpunca daripada lemahnya akal atau rendahnya ideanya, yang kalau kita bentang kepada orang-orang pandai nescaya akan menentangnya dengan bantahan-bantahan yang senang diterima, dan mereka akan berpendapat kalau anak itu berselisih dengan ibu itu bukanlah suatu bentuk tindakan menyakiti ibu bapanya.

Di samping itu, perlu ada usaha menyelesaikan perselisihan tersebut dengan memohon bantuan dari pihak yang berautoriti. Maka, tidak boleh membuka aib ibu bapa atau mentua dengan mendedahkan keaiban mereka di media sosial.

Ini kerana, bukan semua pihak yang membaca tersebut adalah pihak yang berautoriti untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sepertimana pandangan Imam Syihabuddin Ibn Ruslan dalam Syarah Sunan Abi Daud:

“Salah satu contoh berbuat baik anak kepada bapanya ialah apabila dia membenci apa yang dibenci oleh bapanya, sekalipun jika dia mencintai sesuatu itu... Ini hanya berlaku kalau bapa itu adalah orang agama; yang menyintai dan membenci sesuatu kerana Allah; dan tidak merujuk kepada pengikut hawa nafsu...bahawa sesungguhnya seorang anak itu apabila tidak mentaati bapanya, pada perkara yang disuruhnya, maka hendaklah meminta tolong untuk menyelesaikannya daripada hakim, atau salah seorang daripada pembesar negeri.”

Dalam masa yang sama, jika suami menzalimi isterinya dan tidak adil kepada isterinya seperti tidak memberi nafkah, maka suami akan dipertanggungjawabkan kelak. Kategori nafkah isteri berada pada kedudukan paling utama melebihi pihak lain seperti ibu bapa, kecuali dalam keadaan ibu bapa yang tidak bekerja dan tidak berkemampuan dalam menyediakan ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kehidupan. Ketika itu, ia menjadi kewajipan kepada anak-anak.



Kesefahaman akan mewujudkan rasa bahagia. - Gambar hiasan

Sekiranya suami mempunyai adik-beradik yang lain, maka mereka semua perlu ada keselarasan dan persefahaman untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa.

Dengan cara ini, tidaklah terbeban kepada satu-satu anak sahaja sedangkan yang lain lepas tangan. Sekiranya suami tidak mempunyai adik-beradik lain dalam masa yang sama mempunyai pendapatan yang terhad maka, secara turutannya perlulah mengutamakan isteri terlebih dahulu, kemudian anak-anak, kemudian ibu bapa.

Berdasarkan hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Maka, dapat difahami dari nas-nas hadis dan pandangan ulama ini bahawa arahan ibu bapa adalah wajib dipatuhi. Namun kadang-kadang ia menjadi sunat, harus dan haram untuk dipatuhi.

Ada ketikanya seseorang anak itu tidak berdosa jika mengingkari ibu bapanya. Namun, ruangan pengingkaran ini tidak boleh dibuka dengan mudah, perlu berhati-hati.

Perlu ditegaskan bahawa mematuhi perintah ibu bapa yang bukan berkaitan perkara haram adalah wajib dan ada kalanya ia menjadi afdal (lebih baik mematuhi mereka) walaupun ia berkaitan perkara harus sahaja.

Apatah lagi ada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

Jika suami memutuskan sesuatu perkara berdasarkan ruangan syarak yang membenarkan ibu bapa masuk campur maka isteri wajib menurutinya. Cuba bayangkan ketika si isteri menjadi ibu yang mempunyai menantu perempuan kelak, maka situasinya adalah sama, menantu perempuannya perlu mematuhi anak lelakinya yang menjadi suaminya dan suaminya perlu mematuhinya juga.

Ia berkaitan dengan keberkatan yang akan diterimanya, inilah keuntungan yang kadang-kadang seseorang itu tidak perasan. Jika si isteri dapat bersabar dan bertolak ansur, pahalanya sangatlah istimewa dan mudahannya apabila si isteri menjadi mertua pula, Allah akan memudahkan urusannya pula di atas kesabarannya tersebut. Begitu jugalah suami apabila berkaitan tanggungjawab yang dipikulnya.keluar

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain