suria

Kelas online bukan bererti tak perlu hormat pendidik... Doakan guru antara adab digariskan Imam al-Ghazali

Bejalar secara online juga mempunyai adab terutamanya dalam menghormati guru.

PEMBELAJARAN dan pengajaran (PnP) yang dilaksanakan di Malaysia dan luar negara telah beralih kepada pendekatan dalam talian sama ada menerusi aplikasi webex, zoom, google meet, facebook dan seumpamanya.

Ini adalah norma baru yang terpaksa dilaksanakan dan ia perlu dikembalikan cara asal semula yakni pembelajaran bersemuka jika darurat sudah tiada.

Namun, perlu diingatkan bahawa meskipun pembelajaran jarak jauh menerusi atas talian terpaksa dilaksanakan, adab-adab bersama guru tetap perlu diraikan sebagaimana yang digariskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayah al-Hidayah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejauh mana kita faham tentang ikhlas dalam hidup? Fahami rukunnya... elak riyak, ujub dan pentingkan hawa nafsu

Meskipun pembelajaran atas talian ini tidak pernah berlaku pada masa Rasulullah SAW, para sahabat dan zaman Imam al-Ghazali sendiri, adab-adab ini tetap sesuai diamalkan.



Beri salam kepada guru walaupun hanya menatap wajah dalam skrin. - Gambar Sekadar Hiasan

Antaranya adab yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika belajar secara dalam talian ialah memberi salam terlebih dahulu ketika jumpa. Justeru, ketika mereka mula memasuki link aplikasi pembelajaran tersebut, maka mereka perlu memberi salam terlebih dahulu kepada guru yang sudah ada dalam talian sekurang-kurangnya dengan menulis di ruangan chat.

Selain itu, ketika pembelajaran berlangsung, pelajar diingatkan agar tidak berbual di hadapan guru sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu. Realitinya, sikap tidak mengambil perhatian dalam pembelajaran ketika atas talian sangat mudah berlaku.

Contoh belajar sambil berbual di kedai makan, berada di hadapan televisyen dan seumpamanya. Pelajar perlu mencari tempat khas yang agak berselindung dari orang ramai jika mampu.

Pelajar juga seharusnya meminta izin untuk bertanya terlebih dahulu tetapi jangan pula terlalu banyak bertanya ketika gurunya sudah keletihan. Kadang-kadang guru tersebut tidak memberitahu bahawa beliau kepenatan, namun pelajar seharusnya sedar tentang keadaan gurunya menerusi isyarat tubuhnya.

Jika pelajar dibenarkan dari awal untuk bertanya sepanjang pembelajaran maka ini tidak mengapa. Kadang-kadang guru sangat suka pelajar bertanya, maka sebagai menghormatinya, pelajar perlu ulang kaji lebih awal untuk mencari persoalan yang perlu diajukan kelak.



Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohd Hasrul Shuhari.

Antara adab yang perlu diberi perhatian oleh pelajar ialah tidak berdebat dengan membawa pandangan lain yang menyalahi gurunya. Jika ia dibenarkan oleh guru maka para pelajar tetap perlu menyatakan pendapatnya secara beradab tanpa memperlekehkan gurunya.

Ketika belajar secara dalam talian, pelajar perlu tidak merasakan dirinya lebih tahu berbanding gurunya. Jika gurunya mengajar tentang sesuatu yang telah ia ketahuinya, maka pelajar tersebut tetap perlu sabra mendengar kerana di sana ada keberkatan tambahan pada ilmunya.

Meskipun pelajar berada di rumah masing-masing ketika belajar secara dalam talian, mereka tetap perlu duduk dengan tenang dan beradab di depan gurunya meskipun gurunya tidak dapat melihat mereka ketika line kurang stabil. Elakkan belajar sambil berbaring, menonton televisyen, melayan facebook dan seumpamanya.

Jika pelajar berkesempatan untuk bersemuka dengan guru, jika gurunya berdiri untuk beredar, maka para pelajar perlu turut berdiri bersama-samanya untuk menghormatinya. Atau mungkin boleh juga untuk berdiri meskipun dalam talian jika didapati gurunya sedang berdiri untuk habiskan kelas dan beredar. Wallahua’lam.

Ketika guru sudah tamatkan pembelajarannya, disaran agar pelajar tidak bertanya lagi melainkan guru membenarkan pelajar untuk bertanya menerusi Whatsapp dan seumpamanya. Di samping itu, pelajar dilarang untuk bersikap buruk sangka dengan gurunya. Contohnya ketika soalan tidak dijawab, diulang-ulang pembelajaran yang sama dan seumpamanya.



Belajar secara atas talian boleh menjadi menyeronokkan jika masing-masing tahu peranan dan menghormati guru.

Jika ada sesuatu perkara yang disepakati memang salah, maka para pelajar perlu menyatakannya secara hikmah dan tidak menzahirkan keaibannya melainkan melibatkan urusan mahkamah dan seumpamanya sebagaimana yang dibenarkan syarak.

Perkara penting yang jangan dilupakan meskipun ini mungkin tidak disebut secara jelas oleh Imam al-Ghazali atau mungkin disentuh olehnya yang saya belum jumpa, ialah sentiasa mendoakan mereka sama ada ketika mereka melakukan kebaikan mahupun kesalahan.

Doa seringkas barakAllah fikum (semoga Allah memberkati kalian) ketika mereka melakukan kebaikan dan doa seringkas Allahummaghfirlakum (semoga Allah mengampuni kalian) ketika mereka melakukan kesalahan.

Saya akhiri dengan salah satu contoh adab ulama salaf soleh ketika ia belajar yakni Imam al-Shafie pernah berkata: “Apabila saya membuka helaian halaman kitabku di hadapan Imam Malik, saya buka dengan perlahan kerana bimbang Imam Malik akan mendengarnya.”

Inilah adab para ulama, mudah-mudahan pelajar yang belajar secara dalam talian turut mengamalkan adab ini sehingga dikurniakan keberkatan dalam mencari ilmu.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain