suria

Sejauh mana kita faham tentang ikhlas dalam hidup? Fahami rukunnya... elak riyak, ujub dan pentingkan hawa nafsu

Keikhlasan membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudarkan kebersihannya.

MENURUT Imam al-Jurjani dalam kitab al-Ta’rifat daripada sudut bahasa, ikhlas bermaksud meninggalkan riyak apabila melakukan ketaatan.

Dari sudut istilah, ia bermaksud membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudarkan kesuciannnya dan dapat mengetahui sesuatu yang mencampurinya dan dengan itu ia dapat dielakkan.

Menurut Imam al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah, al-ikhlas bermaksud berniat semata-mata kerana Tuhan yang memiliki nama al-Haqq di dalam ketaatan. Manusia mentaati Allah SWT adalah semata-mata ingin mendekatkan diri kepadaNya tanpa tujuan lain seperti pujian dan lain-lain.

Hakikat keikhlasan ialah terpelihara dari belenggu riyak dan hawa nafsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersyukurlah ketika diuji dengan musibah kerana hidup menjadi nikmat jika Allah halalkan redaNya

Dalam kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali menukilkan satu fasal khusus tentang al-ikhlas.

Beliau meletakkan fasal ini di bawah bahagian keempat yang bertajuk akhlak yang terpuji (al-akhlaq al-mahmudah). Menurutnya, al-ikhlas mempunyai tiga rukun iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan.

Rukun pertama merujuk kepada niat kerana di dalam niat terdapat al-ikhlas.

Niat akan menghasilkan pergerakan anggota badan setelah ia bermula dari ilmu, keinginan dan kekuatan. Ilmu menggerakkan keinginan, kemudian keinginan berperanan membangkitkan kekuatan untuk menggerakkan anggota badannya.

Contohnya, seseorang yang bangun dari tidur lalu melihat makanan, maka ia memiliki ilmu tentang makanan. Kemudian ilmu itu menggerakkan keinginannya untuk menjamahnya. Akhirnya, keinginan tersebut membangkitkan kekuatannya untuk bertindak dengan menggerakkan tangannya lalu menjamahnya.

Rukun keduanya iaitu hakikat merujuk kepada hanya satu perkara yang membangkitkan niatnya. Jika ada dua perkara yang membangkitkan niatnya untuk melakukan sesuatu perkara, maka ia bertentangan dengan hakikat keikhlasan.



Hakikat keikhlasan ialah terpelihara dari belenggu riyak dan hawa nafsu.

Rukun ketiga merujuk kepada al-sidq yang merupakan keikhlasan yang sempurna. Al-Sidq bermaksud benar yang mana ia terdiri daripada enam pengertian.

Pertama ialah sifat benar pada pertuturan, kedua pula ialah sifat benar pada niat dan keinginan. Manakala ketiga ialah sifat benar pada keazaman. Contohnya, walaupun seseorang tentera itu mungkin terbunuh dalam peperangan, ia tetap teguh dengan azamnya untuk berjuang kerana Allah SWT.

Keempat ialah sifat benar pada menunaikan janji dengan penuh keazaman. Pengertian keempat ini adalah lebih kuat berbanding pengertian ketiga.

Kelima ialah sifat benar pada perbuatan. Ia merujuk kepada amal perbuatan zahir seseorang menepati aspek dalamannya.

Keenam ialah sifat benar pada merealisasikan maqam-maqam keagamaan.

Ini merupakan al-sidq yang paling tinggi contohnya al-sidq dalam takut kepada Allah. Imam al-Ghazali memberi contoh bahawa seseorang yang memiliki sifat takut kepada Allah SWT belum tentu ia benar-benar takut kepadaNya berbanding sifat takutnya ketika berhadapan dengan pemerintah atau perompak yang zalim.

Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk al-Ikhlas dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan keikhlasan dengan membawakan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 146 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat [dari perbuatan munafik itu] dan memperbaiki amalan mereka [yang salah], dan mereka pula berpegang teguh kepada [agama] Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah.”



Ikhlas yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsunya sebaliknya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, berhubung dengan definisi al-ikhlas, sesuatu yang bercampur apabila bersih dari campuran tersebut maka ia dikenali sebagai khalis. Perbuatan untuk membersihkan atau mengasingkan di antara kedua-duanya dikenali sebagai ikhlas.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 66 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dan darah, [iaitu] susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa susu yang khalis (bersih) ialah susu yang tidak bercampur dengan darah, farth (najis di dalam perut binatang) dan bahan-bahan yang lain.

Lawan bagi kalimah ikhlas ialah ishrak (penyekutuan) maka pada sudut bahasanya bahawa sekiranya individu itu tidak mukhlis (orang yang ikhlas) maka ia dikenali sebagai mushrik (seseorang yang menyekutukan).

Namun begitu, syirik ada peringkat-peringkatnya yang tersendiri antaranya syirik di dalam akidah yang terdiri daripada syirik khafiyy (kecil/tersembunyi) dan jaliyy (besar/jelas).

Ikhlas di dalam akidah dikenali sebagai tawhid manakala lawannya ialah tashrik apabila berhubung dengan hal ehwal ketuhanan.

Lawan bagi ikhlas ialah sesuatu yang bergilir-gilir berada di hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat. Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak dianggap ikhlas lagi dan dianggap riyak yang merupakan shirk khafiyy. Ini disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayat al-Hidayah.

Imam al-Ghazali berpandangan bahawa ikhlas yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsunya sebaliknya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Ia istiqamah mematuhi segala perintah yang diputuskan oleh Allah SWT dalam beribadat kepada-Nya. Ini menunjukkan bahawa ia telah memisahkan dirinya dari segala yang selain daripadaNya.

Maka, dapat difahami dari pandangan Imam al-Ghazali ini bahawa antara ciri-ciri yang bertentangan dengan al-ikhlas ialah tidak ikhlas, riyak, ujub dan mementingkan hawa nafsu.

Kesimpulannya, keikhlasan melibatkan rukunnya iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan yang berkaitan dengan niat dalam segala tingkah laku seseorang itu adalah bersih daripada selain Allah SWT yang mana perbuatan yang dilakukannya adalah semata-mata keranaNya.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain